Ahad, 26 Ogos 2018

Beri peluang saya menang dulu – Dr Halimah

Manzaidi Mohd Amin

Dr Halimah (tengah) beramah mesra dengan pengundi Cina di PDM Taman Sri Manja, Petaling Jaya Selatan dalam program Ziarah Walimah hari ini.
Dr Halimah (tengah) beramah mesra dengan pengundi Cina di PDM Taman Sri Manja, Petaling Jaya Selatan dalam program Ziarah Walimah hari ini.


PETALING JAYA – Calon Pas bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali berkata, beliau akan memastikan suara rakyat akan didengari oleh kerajaan Selangor, sekiranya rakyat memberi peluang kepadanya menang pada 8 September ini.

Katanya, beliau akan bertindak sebagai semak dan imbang kepada kerajaan negeri agar mereka tidak menyalahgunakan kuasa dan wang rakyat yang dikutip melalui pelbagai jenis cukai.

“Saya akan memastikan kerajaan negeri memenuhi janji manifesto mereka yang ditabur pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya kepada media selepas program ziarah walimah di Taman Sri Manja, dekat sini, hari ini.

Menurut Dr Halimah, perjuangan Pas sejak ditubuhkan 65 tahun lalu adalah jelas, iaitu berpusatkan kepada prinsip menjaga semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan status sosial mereka.

Katanya, beliau yakin dapat menyampaikan suara penduduk DUN Seri Setia dan Selangor khususnya berdasarkan pengalaman dalam kerajaan Selangor dari tahun 2008 hingga 2014 sebagai anggota Exco Pendidikan.

Ditanya mengenai Pas yang dikatakan konservatif, Dr Halimah menjelaskan,

“Tidak, kami bukan ekstrimis, Pas adalah sebuah parti yang cintakan kedamaian dan bercita-cita menjadikan Malaysia sebagai negara aman dan harmoni.

“Perlembagaan Pas (Pindaan 2011) menyatakan dengan jelas perjuangannya adalah untuk semua kaum, agama dan status sosial.

“Saya sendiri percaya Pas mempunyai nilai sejagat dan cita-cita sejagat yang sesuai dengan semua. Saya mengakui kita belum sempurna, tetapi tolong berikan peluang untuk saya membuktikannya,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: