Selasa, 28 Ogos 2018

Agong perkenan laksana SST bulan depan

 
Kementerian Kewangan berkata, pelaksanaan SST akan diwartakan sebelum 30 Ogos ini.


Sultan Muhammad V memperkenankan pelaksanaan SST, Jumaat lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V Jumaat lalu untuk membolehkan ia dikuatkuasakan mulai 1 September ini, kata Kementerian Kewangan.

“Dengan pelaksanaan SST yang bakal diwartakan sebelum 30 Ogos ini, kerajaan berharap ia dapat meringankan beban rakyat, memandangkan kerajaan hanya mengutip RM21 bilion di bawah SST berbanding dengan RM44 bilion di bawah cukai barang dan perkhidmatan (GST),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rang undang-undang SST diluluskan Dewan Rakyat 7 Ogos lalu dan Dewan Negara pada 20 Ogos lalu.

kadar cukai baru itu ditetapkan pada 5% dan 10% ke atas barangan terpilih, manakala 6% untuk cukai perkhidmatan bagi menggantikan 6% GST yang diperkenalkan pada 1 April 2015.

SST dikenakan ke atas 38% barang dan perkhidmatan indeks harga pengguna berbanding 60% di bawah GST.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan hari ini berharap peniaga akan mematuhi peraturan serta mendaftarkan perniagaan mereka di bawah SST.

“Ini bagi memastikan tiada pengusaha mengambil kesempatan dan juga sebagai langkah kerajaan mengekang kenaikan harga yang boleh mengakibatkan tekanan kepada rakyat.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan memantau dan mengambil tindakan ke atas sebarang aktiviti pencatutan.”

Tiada ulasan: