Khamis, 30 Ogos 2018

Adakah nasib pemandu teksi akan berubah hanya dengan mengadaptasi aplikasi e-hailing?

Wan Agyl Wan Hassan, Astro Awani
Adakah nasib pemandu teksi akan berubah hanya dengan mengadaptasi aplikasi e-hailing?
Berdasarkan data yang diperolehi, jumlah pendapatan bulanan bagi pemandu teksi di Kuala Lumpur adalah sekitar RM1600 ke RM1800 selepas kos dan semakin berkurangan sejak wujudnya perkhidmatan e-hailing. - Gambar hiasan
 
 
SERUAN Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk pemandu teksi menggunakan aplikasi e-hailing adalah satu saranan yang baik dalam meningkatkan pendapatan pemandu teksi memandangkan permintaan teksi pada masa kini telah berubah.

Kini lebih 50 peratus daripada pengguna telah beralih kepada aplikasi ‘e-hailing’.

Begitupun masih terdapat pengguna yang menggunakan kaedah tradisional untuk mendapatkan teksi termasuklah yang menunggu di hentian teksi. Oleh itu menghapuskan meter adalah satu polisi yang tidak sesuai tetapi ia perlu ditambah baik dalam memastikan penggunaan meter selaras dengan perkembangan teknologi masa kini.

Saya berpandangan, kenyataan bahawa masalah penyalahgunaan meter perjalanan dapat dikurangkan melalui e-hailing adalah satu perspektif yang tidak begitu tepat.

Masalah industri teksi bukanlah hanya berpunca daripada penyalahgunaan meter atau tatakelakuan pemandu teksi yang menggunakan laluan jauh untuk mendapatkan tambang lebih tetapi ia lebih daripada itu.

Ketika ini jumlah lesen teksi adalah sekitar 67,000 di seluruh negara dan lebih 60 peratus daripadanya dimiliki oleh syarikat teksi. Lebih 50 peratus daripada pemandu teksi memandu atas sebab tidak mempunyai pilihan lain dan di dalam keadaan terdesak bagi menjana pendapatan untuk keluarga mereka.

Berdasarkan keadaan ini, isu yang paling utama dan perlu diberi perhatian serius adalah pemilikan lesen dan struktur industri teksi yang dipelopori oleh syarikat-syarikat teksi yang tidak berfungsi sebagai syarikat perkhidmatan teksi tetapi lebih kepada syarikat menyewa kenderaan teksi yang memiliki lesen daripada kerajaan.

Sebelum SPAD memperkenalkan pembukaan lesen individu, lesen-lesen teksi ini dibekukan pengeluarannya semenjak tahun 2009 dan bersifat terhad. Maka, bagi mana-mana individu yang ingin memandu teksi, mereka perlu menyewa lesen tersebut bersama-sama kenderaan daripada syarikat teksi dan ia bukanlah satu perkara yang mudah.

Bagi mereka yang ingin menyewa lesen tersebut perlulah membayar deposit di dalam lingkungan RM1000 hingga ke RM6000 bergantung kepada jenis dan usia kenderaan dan memeterai perjanjian kontrak pajak.

Mereka perlu membayar sewa harian di dalam lingkungan RM40 ke RM120 selama lima ke tujuh tahun. Keadaan ini disebabkan oleh pembentukan rent seeking environment yang disebabkan oleh bilangan permintaan banyak dengan penawaran lesen yang terhad.

Keadaan ini ditambah pula dengan hanya 40 peratus perjalanan berbayar (antara yang terendah di ASEAN) dan ia menjadi semakin rendah dengan kemunculan perkhidmatan e-hailing menyebabkan pendapatan pemandu teksi semakin berkurangan.

Sebelum wujudnya e-hailing, pendapatan harian pemandu teksi berada dalam lingkungan RM150 ke RM180 sebelum kos tetapi hari ini, pendapatan pemandu teksi hanyalah sekitar RM80 ke RM100 sahaja sebelum kos.
–– ADVERTISEMENT ––
Berdasarkan data yang diperolehi, jumlah pendapatan bulanan bagi pemandu teksi di Kuala Lumpur adalah sekitar RM1600 ke RM1800 selepas kos dan semakin berkurangan sejak wujudnya perkhidmatan e-hailing.

Adalah sukar bagi mereka untuk tinggal di Kuala Lumpur dengan pendapatan sebegini. Dengan tanggungjawab ke atas kenderaan jatuh sepenuhnya kepada pemandu teksi dan bukan syarikat teksi, bayangkan sekiranya teksi mereka rosak atau terlibat dalam kemalangan.

Mereka perlu menanggung keseluruhan kos memperbaiki teksi dan masih tetap perlu membayar sewa harian walaupun tidak dapat bekerja. Kegagalan membayar sewa harian pada tempoh masa tertentu akan menyebabkan kenderaan mereka ditarik oleh syarikat teksi.

Dengan pendapatan yang rendah dan semakin berkurangan ditambah pula dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sentiasa memberi tekanan kepada profession pemandu teksi.

Dalam keadaan ini, kebanyakan pemandu teksi mengambil jalan mudah untuk mendapatkan pendapatan lebih dengan menipu kadar tambang dengan pelbagai cara seperti seperti memilih penumpang di kalangan pelancong dengan mengenakan kadar tambang tanpa meter, menggunakan laluan yang lebih jauh dan mengubahsuai meter.

Kerajaan terdahulu sudah mencuba mentransformasi industri teksi dan menaik taraf kehidupan pemandu teksi. Saya percaya usaha mereformasi industri ini masih perlu diteruskan bagi mewujudkan situasi menang-menang antara pemandu teksi dan pengguna.

Begitupun, Kementerian Pengangkutan yang diterajui Menteri Anthony Loke perlu faham industri ini secara mendalam ini terlebih dahulu demi memastikan dasar yang bakal diperkenalkan boleh beri manfaat besar kepada seluruh ekosistem industri.

Saya berharap Menteri dapat melihat semula apakah perkara-perkara yang pernah dilakukan oleh kerajaan terdahulu dan mengambil iktibar serta menambahbaik inisiatif-inisiatif ini. Jangan kerana terlalu mengejar teknologi, kita mengorbankan industri teksi bermasalah disebabkan kepincangan polisi dan struktur industri yang memerlukan perhatian kerajaan.



Wan Agyl Wan Hassan ialah aktivis pengangkutan awam darat dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Perancangan dan Polisi Operasi SPAD. 


Tiada ulasan: