Jumaat, 31 Ogos 2018

61 tahun merdeka di mana hak anak-anak Chow Kit?

Nur Syamila Kamarul Arefin




PETALING JAYA: Setiap hari Mohd Haikal Afani, 15, menatap Jalur Gemilang di hadapan sekolahnya yang terletak di Chow Kit, Kuala Lumpur. Ketika Malaysia Barat meraikan hari kemerdekaannya, anak kota raya ini tidak rasa merdeka.

Haikal bersekolah di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), satu-satunya institusi yang menawarkan pendidikan percuma kepada anak-anak miskin kota yang tinggal di kaki lima.

Siapa anak-anak ini? Majoritinya tidak dapat bersekolah ataupun membuka akaun bank peribadi. Bila besar nanti, mereka akan sukar mendapat pekerjaan tetap dan berkahwin.

“Impian saya hanya satu: Saya mahu bebaskan keluarga dari kemiskinan dan bawa mereka ke jalan yang benar,” katanya ketika ditemui FMT.
Haikal mempunyai impian untul bebaskan keluarga dari kemiskinan.
Haikal tidak mempunyai dokumen kerakyatan. Dia benar-benar rasa terkongkong dengan stigma seks dan dadah yang terpalit pada anak-anak lorong di Chow Kit.

Memandang abang-abang dan kakak-kakak di luar sana, dia berharap suara mereka tidak tenggelam dalam hiruk-pikuk kota dan kehidupan yang serba tergesa-gesa.

“Saya bersyukur diberi peluang bersekolah, kembangkan bakat melukis dan diajar pelbagai kemahiran untuk hidup berdikari,” kata Haikal.

Dia menjual sendiri hasil kerja tangannya dan kutipan digunakan untuk menampung kehidupan keluarga yang tinggal di rumah tumpangan.

Haikal berikrar jika dia berjaya keluar dari kepompong ini, dia akan membantu kawan-kawan senasib.

Di celah kota
Guru Matematik, Fatin Nur Syafiqah Abdul Muthalib.
Terselit di celah-celah bangunan lain di tengah-tengah Kuala Lumpur, SBJK amat strategik untuk kanak-kanak seperti Haikal.

Sekolah ini antara inisiatif Kementerian Pendidikan untuk kanak-kanak jalanan, agar mereka mendapat akses kepada pendidikan, kunci kepada pelbagai kemungkinan.

Ia mula beroperasi pada 19 Ogos 2013.

“Anak-anak ini sangat gembira apabila dapat peluang untuk bersekolah,” kata guru matematik Fatin Nur Syafiqah Abdul Muthalib.

Guru-guru yang ditemui memberitahu FMT anak-anak ini lebih matang berbanding kanak-kanak lain dan sangat berdikari, diasuh kehidupan yang susah, miskin dan mencabar.
Puteri tidak sangka ada sekolah yang sudi menerima kanak-kanak sepertinya.
Mereka berkata anak-anak ini sangat bersemangat meraikan bulan kemerdekaan setiap tahun kerana diberi peluang bersekolah.

“Di sini mereka rasa dihargai dan disayangi oleh kawan-kawan dan guru,” kata Fatin.

Di usia semuda 15 tahun, Puteri Nur Arissa Mohd Noor juga sering merenung erti kemerdekaan bagi kanak-kanak sepertinya.

Srikandi jalanan ini tidak sangka ada sekolah yang sudi menerima kanak-kanak sepertinya. Di SBJK, Puteri diajar kemahiran memasak.

“Bagi kanak-kanak tanpa dokumen seperti saya dan kawan-kawan di SBJK, kami mahukan pengiktirafan sebagai warganegara Malaysia yang boleh teruskan kehidupan harian normal,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: