Khamis, 30 Ogos 2018

101 ahli Umno-Pas masuk AMANAH di Dun Bintong

Ir Shaharuddin Ismail  (tiga dari kanan) dan  Wan Kharizal Wan Khazim (empat dari kanan) selepas mengumumkan keluar parti sertai AMANAH.- Foto BH online.

Seramai 101 ahli Umno dan Pas di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bintong mengumumkan keluar parti masing-masing hari ini dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Ir Shaharudin Ismail yang mewakili 30 bekas ahli Umno menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi AMANAH Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim, di Pusat Aktiviti Wang Ulu, semalam, lapor bharian online.

Shaharudin berkata, keputusan beliau bersama ahli Umno lain menyertai AMANAH adalah kecewa dengan pucuk pimpinan Umno yang tidak berubah.

“Pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian masih berlaku politik wang, di peringkat pusat ketika pemilihan pula orang yang sama juga dikekalkan.

“Kita sangkakan orang lain akan terpilih tetapi orang lama kekal bermakna cara masih lama dan tiada perubahan,” katanya.

Ditanya kenapa memilih AMANAH berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PKR, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kangar penggal lalu, berkata AMANAH dilihat lebih sederhana berbanding dua parti Pakatan Harapan (PH) itu.

“Bersatu dan PKR mendapat perhatian yang cukup meluas. AMANAH parti yang bersederhana dan ia sesuai dengan kami.

“Saya dan rakan lain menganggap AMANAH adalah parti masa hadapan yang sesuai dengan perjuangan kami,” katanya.

Wan Kharizal Wan Khazim bersama Abdul Rashid.

Turut sama menyerahkan borang keahlian adalah bekas Ahli Jawatankuasa Pas Cawangan Kampung Telok Kacang yang mendakwa mewakili 71 ahli Pas kawasan berkenaan.

Bekas AJK Pas Cawangan Teluk Kacang Abdul Rashid ketika ditemui wakil Media Oren berkata beliau dan ahli Pas yang lain menyertai AMANAH kerana mendakwa pucuk pimpinan Pas hari ini sudah tidak lagi relevan.

“Mereka sudah berubah selepas kepimpinan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz dahulu, “ujarnya.

Tiada ulasan: