Selasa, 31 Julai 2018

Zawawi, Lokman kini sama-sama yakin

 
   

ULASAN | Selepas genap seminggu kempen berlangsung, bahang pilihan raya kecil (PRK) ini semakin dirasai.

PRK itu adalah pertama perlu didepani Pakatan Harapan (HARAPAN) sejak mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan pada 9 Mei lalu.

Justeru ia menjadi medan eksperimen buat kedua-dua parti yang bertanding iaitu PKR mahupun Umno.

Bagi PKR, mereka ingin menjadikan PRK itu sebagai kayu pengukur terhadap sokongan rakyat kepada kepimpinan Harapan yang kini semakin hampir kepada tempoh 100 hari pertama pentadbirannya.

Pada masa sama Umno pula mahu menjadikan ia sebagai medan uji kaji terhadap parti itu selepas ia mengalami kekalahan paling teruk sejak 61 tahun lalu.

Namun apa yang lebih menarik tentang PRK Sungai Kandis kali ini ialah ia turut menunjukkan sokongan PAS kepada BN - suatu pendekatan yang amat berbeza berbanding suatu ketika dahulu.

Dalam PRK kali ini, PAS tidak segan silu meminta anggota parti terbabit menyokong BN dengan menjadikan kepentingan orang Melayu dan Islam sebagai alasan.

Orang tempatan, orang luar

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dan Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali contohnya malam tadi secara terbuka menggesa anggota parti itu mengundi calon BN.

Selain itu, melalui pengamatan Malaysiakini, kedua-dua pihak juga mula melakukan perang poster dengan meletakkan gambar calon dan bendera parti masing-masing di sekitar kawasan Sungai Kandis dan jalan menuju ke Kampung Jawa dari Shah Alam.

Jika memandu dari Shah Alam ke Kampung Jawa, bendera parti dan gambar calon dilihat dipacak di tepi jalan sebelah kiri manakala BN di sebelah kanan jalan.

Pada PRK kali ini, PKR mempertaruhkan seorang guru agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni manakala Umno meletakkan Datuk Lokman Noor Adam sebagai calon BN.

Lokman terkenal sebagai seorang aktivis reformasi sehingga pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1998.

Mohd Zawawi yang popular di kalangan penduduk Sungai Kandis pula dilihat begitu yakin dapat membantu partinya mengekalkan kerusi yang disandang Shuhaimi Shafiei sejak tiga penggal lalu.




Sebelum ini kerusi berkenaan dikenali sebagai Seri Muda.

Pada masa sama kepimpinan PKR juga yakin bahawa Mohd Zawawi dapat mengekalkan majoriti 12,480 undi yang dimenangi Shuhaimi pada PRU lalu jika pun tidak mendapat majoriti lebih besar.

Keyakinan itu berasaskan ‘mood’ penduduk, rekod cemerlang PKR di kawasan itu, kepercayaan pengundi terhadap Zawawi serta tiada isu besar yang boleh dimanipulasi pembangkang.

Dari segi kempen pula, Mohd Zawawi turut memberi perhatian terhadap isu setempat dan bukan hanya tertumpu kepada isu nasional semata-mata.

Antaranya kemudahan infrastruktur awam, program kebajikan dan pembangunan modal insan untuk rakyat setempat.

Antara GST, SST

Selain itu, pengetua maahad tahfiz itu juga membangkitkan faktor beliau sebagai anak tempatan untuk menunjukkan bahawa pengundi perlu memilihnya kali ini.

Mohd Zawawi juga yakin akan berlaku ‘perpindahan’ undi penyokong PAS kepada beliau.

Sementara itu bagi Lokman pula, kempennya banyak diwarnai dengan pendekatan mempertikaikan isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).




Lokman berhujah SST akan mengenakan cukai lebih tinggi berbanding GST bermula 1 September depan.

Beliau juga banyak memainkan isu-isu nasional seperti hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan Islam, bahasa Melayu dan raja-raja Melayu yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia yang didakwanya terjejas di bawah kerajaan HARAPAN.

Selain itu, Lokman dilihat sering memainkan isu kerajaan HARAPAN banyak tidak menunaikan janji selepas menang PRU14 lalu.

Justeru katanya rakyat perlu kepada pembangkang yang kuat di Selangor untuk memastikan wujudnya mekanisme semak dan seimbang dalam pentadbiran kerajaan.

Namun begitu Lokman mengakui misi untuk menawan Sungai Kandis adalah sukar, namun tetap yakin menang akan diperolehinya walaupun tipis.

Congakan Lokman itu ialah andainya BN berjaya menarik 80 peratus undi PAS dan 17 peratus penyokong HARAPAN. Dalam keadaan begitu Lokman yakin akan merampas kerusi Sungai Kandis dengan kelebihan 135 undi.

Seorang calon Bebas, K Murthy, pula dipercayai berkempen secara senyap.

Kesenyapan itu begitu ketara kerana setakat ini pihak media sendiri tidak mengetahui pergerakan mahupun melihat kelibatnya di kawasan Sungai Kandis.

Dalam keadaan begiu hanya parti yang mempunyai strategi perang paling bijak pada pusingan kedua kempen minggu depan saja akan dinobatkan sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis yang baru pada malam 4 Ogos ini.


Tiada ulasan: