Isnin, 23 Julai 2018

Zaid cuba kemuka bukti baru dalam saman 1MDB terhadap Najib

 
Beliau membuat permohonan di Mahkamah Rayuan selepas laporan pengauditan 1MDB yang dikelaskan sebagai rahsia, dikategorikan semula sebagai dokumen terbuka oleh kerajaan baru. 


Mahkamah Tinggi sebelum ini membatalkan saman Zaid Ibrahim terhadap Najib Razak kerana melanggar tanggungjawab fidusiari.

PETALING JAYA: Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti baru dalam rayuan terhadap pembatalan samannya berkaitan 1MDB.

Peguam, Americk Sidhu berkata permohonan itu difailkan di Mahkamah Rayuan selepas laporan ketua audit negara mengenai 1MDB yang dikelaskan sebagai rahsia, dikategorikan semula sebagai dokumen terbuka oleh kerajaan Pakatan Harapan, Mei lalu.

“Kami akan bergantung kepada laporan itu untuk mengetepikan pembatalan saman Zaid,” katanya kepada FMT.

Mahkamah Rayuan dijangka mendengar permohonan itu pada 8 Ogos ini.

Bagaimanapun, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili 1MDB menarik diri daripada kes itu dan syarikat berkenaan memerlukan masa untuk mendapatkan peguam baru.

“Permohonan kami untuk mengemukakan bukti baru mungkin mengambil masa untuk didengar,” kata Americk.

Laporan audit 1MDB diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Januari 2016, tetapi ia diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

November lalu, Mahkamah Tinggi membatalkan saman Zaid terhadap Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak kerana melanggar tanggungjawab fidusiari.

Turut dinamakan sebagai defendan dalam saman itu ialah anak tirinya, Riza Aziz, 1MDB dan kerajaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rohani Ismail ketika membenarkan permohonan Najib berkata, Zaid tidak mengemukakan sebarang alasan munasabah untuk mengambil tindakan terhadap Najib, Riza, 1MDB dan kerajaan.

Rohani berkata, Zaid juga tiada locus standi mengemukakan saman itu kerana beliau bukan pemegang saham atau ejen 1MDB dan beliau tidak mendapat persetujuan lembaga pengarah 1MDB untuk berbuat demikian.

Zaid mahu AS$731 juta yang dimasukkan ke akaun bank Najib, dikembalikan kepada kerajaan bersama RM42 juta yang diterima daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Zaid turut memfailkan permohonan berasingan terhadap Ambank Islamic untuk mendedahkan butiran akaun Najib.

Saman Zaid itu mendedahkan AS$50 juta dimasukkan ke akaun Najib antara Februari 2011 dan November 2012, manakala AS$681 juta didepositkan pada Mac 2013.

Wang sebanyak AS$681 juta itu dikenali ramai sebagai sumbangan RM2.6 bilion, berdasarkan kadar tukaran mata wang asing ketika itu.

“Najib sebagai pemegang amanah 1MDB, bertanggungjawab melindungi dan menjaga aset negara serta tidak menukarnya untuk kegunaan sendiri,” kata Zaid dalam pernyataan tuntutannya.

Katanya, AS$731 juta itu terdiri daripada AS$681 juta dimasukkan ke akaun peribadi Najib pada Mac 2013 sebelum pilihan raya umum ke-13 yang didakwanya diperolehi daripada Good Star Ltd antara Februari dan Jun 2011, serta AS$30 juta yang didakwanya diterima daripada Aabar BVI antara Oktober dan November 2012.

Zaid juga mahu mahkamah memerintahkan Riza, penerbit filem Hollywood membayar semua wang yang beliau mungkin terima daripada 1MDB, secara langsung atau tidak langsung.

Beliau juga mahu Riza mengembalikan semua harta alih dan tidak alih yang beliau perolehi dengan wang 1MDB serta di bawah namanya atau ejennya, termasuk ahli perniagaan, Low Taek Jho.

Tiada ulasan: