Ahad, 15 Julai 2018

Warga Felda sudah marah kepada Kerajaan PH

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF

   SAYA bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang juga Pengerusi Biro Dasar PPBM, Datuk Dr Rais Hussin, bahawa pengiktirafan terhadap UEC bukanlah termasuk dalam 10 janji yang Kerajaan PH ikrar untuk laksanakan dalam 100 hari pertama pentadbirannya.
    Sehubungan itu, fokus utama Kerajaan PH sekarang seharusnya ditumpukan kepada pelaksanaan 10 janji ini dahulu kerana tempoh 100 hari pertama pentadbirannya sudah hampir tamat.
   Jika diamat-amati kembali, sektor pengundi Felda adalah antara sektor utama yang cuba dipikat oleh PH dan yang menjadi penyumbang utama kepada kemenangan PH dalam PRU14.
  Di dalam usahanya untuk menarik sokongan warga Felda, PH menganjurkan Konvensyen Warga Felda pada 19 Mac 2017 dan menawarkan 5 resolusi kepada warga Felda jika PH menang dalam PRU14.
   Dua daripada lima Resolusi Konvensyen Warga Felda ini akhirnya dimasukkan sebagai antara 10 janji yang Kerajaan PH ikrar untuk laksanakan dalam 100 hari pertama pentadbirannya, iaitu:
   Janji 3:     Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda, dan
   Janji 7:     Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji, dan merombak semula struktur kepimpinan mereka (Turut terkandung di dalam Manifesto PH adalah “Iltizam khusus untuk warga Felda” merangkumi “Iltizam 1: Menghentikan penyelewengan dalam Felda di semua peringkat”, “Iltizam 2: Menyusun semula tadbir urus Felda”, “Iltizam 3: Membela nasib peneroka Felda dan mengurangkan bebanan hutang mereka”, “Iltizam 4: Memodenkan dan menaik taraf kawasan-kawasan Felda” dan “Iltizam 5: Memberi peluang pendidikan terbaik untuk anak-anak peneroka Felda”)
   Malangnya, sehingga kini kedua-dua janji ini masih belum dilaksanakan oleh Kerajaan PH sehingga menyebabkan mula timbul suara-suara kemarahan dari warga Felda.
Dapat kita baca kenyataan Pengerusi Majlis Pemuafakatan NGO Felda (MPNF), Mazlan Aliman, pada 12 Julai mendesak Kerajaan PH menunaikan janji untuk menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.
   Mazlan Aliman selaku Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) juga sebelumnya membuat kenyataan pada 18 Mei lalu supaya Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat pelbagai isu dihadapi Felda.
   Agak pelik bila desakan sebegini perlu dibuat kembali, apatah lagi secara terbuka, oleh Mazlan Aliman yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat PAN, bila perkara-perkara yang didesak ini sudah sedia dijanji untuk dilaksanakan tempoh 100 hari pertama pentadbirannya oleh Manifesto PH.
  Terbaru adalah kenyataan terbuka Timbalan Presiden Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mohd Nasaie Ismail, yang juga adalah aktivis PAN, yang “merayu kepada kerajaan baharu agar cakna nasib peneroka Felda yang masih tidak menerima wang sara hidup” kerana “peneroka menerima wang sara hidup yang lambat yang tidak pernah berlaku di zaman pemerintah yang lalu”.
   Tegas Mohd Nasaie Ismail: “PH pula, tanpa 19 kerusi Felda, tidak akan boleh membentuk kerajaan. Jangan abaikan mereka. Undi tidak selama-lamanya milik kita. Hentikan berpolitik. Jangan sampai rakyat lapar dan mereka mula bertindak. Ini bukan wayang, anda boleh pergi ke page atau group Facebook anak anak Felda dan lihat reaksi mereka.”
   Lebih jauh lagi, kata Mohd Nasaie Ismail: “Anak turut dimaklumkan oleh Setiausaha MPNF bahawa surat dan pemakluman sudah dihantar kepada Menteri yang berkenaan Felda untuk bertemu namun sudah lebih dua minggu tiada jawapan diberikan.”
   Semua ini membuatkan kita tertanya-tanya mengapa ini boleh berlaku sedangkan Manifesto PH menjanjikan pembelaan terhadap warga Felda, ditambah pula yang menyuarakan segala perkara ini adalah pemimpin dan aktivis PAN sendiri yang ada wakil dalam Kerajaan PH dan Majlis Presiden PH. Takkanlah wakil-wakil PAN dalam Kerajaan PH dan Majlis Presiden PH tidak mampu untuk menyuarakan segala perkara ini di dalam mesyuarat?
   Dan mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini, kalau mengikut Manifesto PH, sepatutnya ada empat suruhanjaya begini untuk menyiasat “secara terperinci dan berasingan” 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji dalam 100 hari pertama pentadbiran Kerajaan PH.
   (Ini juga ada disebut dalam “Janji 13: Menyelesaikan skandal 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji” yang berbunyi: “Suruhanjaya siasatan akan ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci dan berasingan penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji. Suruhanjaya ini juga akan ditugaskan untuk mencadangkan tindakan susulan yang sesuai, serta mekanisme terperinci untuk menyelesaikan skandal-skandal besar ini.”)
   Malangnya setakat ini janji ini belum terlaksana, walaupun siasatan ke atas 1MDB khususnya tetap dibuat tetapi bukan melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: