Sabtu, 21 Julai 2018

Wanita cedera diseret, peragut kena belasah

MALAYSIAKINI

   
Seorang pembantu jualan di kedai farmasi nyaris hilang nyawa apabila rambutnya tersangkut pada roda motosikal peragut dan diseret beberapa meter atas jalan sebelum diselamatkan oleh orang awam dalam kejadian ragut di Miri semalam,

Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, mangsa, wanita berusia 31 tahun itu sedang berjalan kaki di belakang pusat membeli belah Boulevard Mall Miri sebelum dihampiri suspek dari arah belakang dan meragut beg tangan mangsa,

Bagaimanapun, mangsa terjatuh atas jalan dan rambutnya tersangkut pada roda motosikal dan diseret sebelum suspek turut terjatuh dari motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Sarawak, SAC Denis Leong, dalam kenyataan, berkata orang awam yang melihat kejadian itu terus memberi bantuan dengan menangkap suspek dan mendapatkan semula beg tangan mangsa.

Akibat berang dengan perbuatan kejam itu, orang awam di tempat kejadian bertindak membelasah suspek dengan teruk sebelum menyerahkannya kepada polis.

Leong berkata mangsa hanya mengalami sedikit kecederaan manakala suspek berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Miri untuk rawatan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.- Bernama


Tiada ulasan: