Sabtu, 21 Julai 2018

Utus surat kepada CIA dianggap khianat kepada negara



Utus surat kepada CIA dianggap khianat kepada negara
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berpandangan, tindakan Pengarah Unit Risikan Jabatan Perdana Menteri, Hasanah Ab Hamid mengutus surat kepada CIA sebagai menghianati negara.

Menurut Presiden Patriot, BG Dato Mohamed Arshad Raji (B), pada 19 Julai lalu Malaysiakini melaporkan bahawa sepucuk surat telah dihantar kepada Pengarah CIA lima hari sebelum pilihan raya umum 9 Mei.

“Selain mengucap tahniah atas pelantikan pegawai baharu CIA itu, ia turut membincangkan soal keselamatan dalam negeri, hal ehwal dasar luar yang sepatutnya tidak boleh dikongsi, dan memohon supaya AS menyokong kerajaan terdahulu jika keputusan pilihan raya sengit.

“Kelihatannya, kerajaan Najib Razak cuba memenuhi kehendak kedua-dua belah pihak dalam konflik kuasa besar.

“Di satu pihak kita dalam diam memberikan sokongan kepda penguasaan China di Laut China Selatan, di satu pihak yang lain kita secara tersembunyi memberitahu bahawa negara kita adalah pro-AS dan menyokong kehadiran AS di rantau ini,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, mengkritik musuh politik sebagai anti-Barat, anti-Semite dan autokratik bertujuan untuk mendapatkan pertolongan adalah tidak boleh diterima, memalukan dan merendahkan kesenian hubungan dengan pihak asing.

Katanya, hanya pemimpin dan kerajaan yang tidak memiliki kepimpinan dan pentadbiran yang baik sahaja yang akan membuat perkara hina seperti itu.

Sehubungan itu kata beliau lagi, Patriot menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat segera terhadap apa yang dipanggil unit risikan dan pegawai-pegawai berkenaan.

“Kesemua mereka yang bersalah perlu dihukum dengan serius supaya boleh dijadikan contoh kepada pegawai-pegawai dalam kerajaan, anggota pasukan keselamatan, dan ahli politik, bahawa hubungan sebegitu dengan pegawai asing atau kerajaan dianggap sebagai perbuatan khianat,” kata beliau

Tiada ulasan: