Selasa, 10 Julai 2018

Umno dah kalah, tiada lagi jawatan, projek, kata Asyraf Wajdi

 
Ketua Pemuda baru berkata ahli Umno tidak lagi boleh berjuang untuk jawatan dan projek kerana semua itu tidak lagi boleh diberikan.


Asyraf (dua dari kanan) sebagai ahli panel di wacana Sinar Harian di Shah Alam hari ini. (Gambar Facebook)


SHAH ALAM: Para ahli tidak lagi boleh berjuang untuk jawatan dan projek-projek kerajaan kerana Umno tidak lagi boleh memberikan semua itu selepas kalah pada pilihan raya 9 Mei lepas, kata Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketua Pemuda Umno baru itu dalam peringatannya juga berkata peluang-peluang projek dan jawatan melalui “perjuangan” Umno sudah melalaikan ahli-ahli parti daripada tanggungjawab mereka.

“Apa silap kita? Apabila kita berada di puncak kita lalai dan angkuh. Kita disibukkan dengan perebutan kuasa dan soal projek.

“Hari ini siapa berjuang untuk Umno untuk jawatan? Jawatan sudah tidak ada. Siapa berjuang untuk projek? Projek sudah tidak ada,” katanya dalam Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Mampukah BN Bangkit Semula?’ di Shah Alam hari ini.
Beliau berkata para ahli harus sedar tentang hakikat ini kerana selepas ini Umno perlu berubah dari segi struktur dan budaya bagi mengembalikan sokongan rakyat.

“Kita tidak boleh lagi berlagak seperti mana dulu – sombong, angkuh. Kita perlu turun ubah budaya turun bersama akar umbi.

“Tidak perlu tidur di hotel-hotel, cukuplah tidur di rumah ketua bahagian dan cawangan. Saya sudah mula di 5 negeri yang saya turun bila adakan program. Ini semua untuk apa? Untuk mencipta semangat dan perjuangan baru.”

Wacana hari ini turut menampilkan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pasca kekalahan PRU-14, Asyraf meminta ahli supaya lebih meyakini kerja-kerja baik yang Barisan Nasional lakukan sepanjang 60 tahun memerintah negara.

“Tidak ada orang boleh menafikan sumbangan BN,” katanya.

“Sebagai contoh, kita lihat perkembangan Islam cukup hebat bawah BN tetapi kadang-kadang penyokong Umno sendiri tidak yakin kita pejuang Islam.

“Kadang-kadang kita merasakan pejuang Islam ada pada parti berlabel Islam. Hakikatnya, kita bawa model Islam sebenar.”

Tiada ulasan: