Selasa, 17 Julai 2018

UEC tak boleh diiktiraf sama sekali, tegas UMMAH

ISMA WEB

Akta Pendidikan 1996 kata dasar pendidikan akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukan bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama

 


KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengingatkan kerajaan bahawa sijil peperiksaan bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina tidak boleh diiktiraf sama sekali, sama ada dilakukan pada masa sekarang atau kemudian hari.

Pada masa sama, UMMAH akan menganjurkan siri himpunan di seluruh negara bagi menunjukkan bantahan terhadap pengiktirafan UEC, kepada rakyat yang mana perhimpunan aman pertama bakal diadakan di ibu negara 28 Julai ini.

Ketua Sekretariat UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya berkata, gerakan itu mengingatkan bahawa pengiktirafan terhadap UEC tidak dapat dan tidak boleh diterima dalam sistem pendidikan di negara ini secara dasar atau prinsip baik dilaksanakan hari ini atau kemudian hari.

Katanya, susulan desakan pelbagai pihak, termasuk kenyataan tegas yang dikeluarkan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia bersama gabungan 300 NGO Islam, ummah menyifatkan kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada 12 Julai lalu sebagai separa matang.

12 Julai lalu, Dr Maszlee memberitahu pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan, bahawa Kementerian Pendidikan akan tetap memberi pengiktirafan kepada UEC, seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, UEC menjadi salah satu janji dalam manifesto PH dan Barisan Nasional (BN) yang akan ditunaikan jika membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Haji Aminuddin berkata, pada 13 Julai pula, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching selepas bertemu Dong Zhong menyatakan bahawa beliau tidak bersendirian dalam usaha mengiktiraf UEC dan akan melaksanakan manifesto itu.

“Akta Pendidikan 1996 menyebut bahawa dasar pendidikan akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukan bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama. Kurikulum pendidikan dan peperiksaan yang sama.

“Pendidikan yang diberikan adalah pelbagai dan komprehensif skopnya dan akan memenuhi keperluan negara dan memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik, selaras dengan prinsip Rukun Negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, oleh kerana UEC adalah sistem luar yang diambil daripada model pendidikan Taiwan dan China yang tidak mengambil kira atau menerima merentasi budaya bangsa Malaysia, maka sebarang tindakan di pihak kerajaan atau Kementerian Pendidikan bagi mengiktirafnya sama ada hari ini atau kemudian hari adalah bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang telah dikanunkan pada 1996.

“Dalam hal ini, UMMAH berpandangan apa-apa keputusan yang mempunyai implikasi besar terhadap agama, bangsa dan negara perlu diperhalusi dengan lebih mendalam termasuk dibahaskan di Parlimen dengan mengambil kira kerangka Perlembagaan.

“UMMAH mengulangi bahawa akan terus mendesak dan membantah terhadap pengiktirafan UEC ini dan kami bersedia untuk mengadakan himpunan aman bagi membantah pengiktirafan ini dan membawa rakyat secara besar-besaran bagi menyatakan pendirian menentang pengiktirafan UEC,” katanya.


Tiada ulasan: