Selasa, 17 Julai 2018

Tunjuk contoh baik, jadi pembangkang berwibawa: KJ

ISMA WEB

Anifah Aman tak turut serta keluar dewan bantah pelantikan Speaker


KUALA LUMPUR – “Kita perlu tunjuk contoh yang baik. Sebagai pembangkang yang berwibawa.” 

Demikian ditegaskan Ahli Parlimen Rembau daripada UMNO, Khairy Jamaluddin, ketika ditanya sebab beliau tidak bersama rakan pembangkang yang lain keluar dewan membantah cara pelantikan Speaker Dewan Rakyat, pagi tadi.

Malah, beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, tindakan keluar dari dewan bukan contoh baik untuk menghormati majlis pelantikan speaker dan angkat sumpah wakil rakyat di Parlimen, hari ini.

“Saya nak menghormati majlis hari ini.. hari ini majlis angkat sumpah … kalau kita nak buat bantahan pun berkenaan dengan lantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.. boleh dibuat dengan cara yang lain..

“Boleh dibuat melalui perbahasan, peraturan dewan, pada hari Rabu tapi bukan dengan cara kita keluar dewan pada hari ini… kita perlu tunjuk contoh yang baik… sebagai pembangkang yang berwibawa,” katanya.

Khairy berpendapat beliau tidak melanggar peraturan dan memahami batas disiplin sebagai ahli UMNO, malah sekarang ini katanya, UMNO lebih terbuka.

Terdahulu, semua wakil rakyat pembangkang termasuk PAS, kecuali Khairy dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman, keluar dewan kerana membantah cara pelantikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, yang didakwa kononnya tidak megikut peraturan mesyuarat.

Sementara itu, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata, terpulang kepada UMNO untuk menangani isu Khairy dan Anifah yang tidak turut serta keluar daripada dewan, sedangkan tindakan itu adalah keputusan parti.

“(Tindakan) itu adalah keputusan parti. Saya serahkan kepada parti memutuskannya. Sepatutnya, mereka menjelaskan kenapa mereka tidak melakukannya,” katanya.

Sementara itu, Anifah berpendapat beliau tidak perlu menyertai rakan-rakan pembangkang yang lain keluar dewan.

“Kita telah menyatakan bahawa kita tidak setuju dan tidak gembira dengan pelantikan Speaker Dewan Rakyat hari ini. Saya menghormati pandangan dan pendirian rakan pembangkang hari ini.

“Bagaimanapun, saya berpendapat adalah tidak perlu untuk saya keluar daripada dewan pagi tadi,” katanya.


Tiada ulasan: