Isnin, 30 Julai 2018

Tuan Ibrahim nafi PAS ada kerjasama khusus dengan Umno

   

PARLIMEN | Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan PAS menjalinkan kerjasama secara khusus dengan Umno termasuk secara jangka masa pendek.

Katanya PAS dilihat bersama Umno dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi memenangkan Datuk Lokman Adam setelah melihat perkembangan semasa khususnya bilangan jumlah kecil Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Sidang Dewan Negeri (DUN).

Selain itu katanya, faktor kemarahan dan bantahan rakyat dalam janji manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) menyebabkan mereka terpanggil membantu Umno.

“Tak ada kerjasama, jentera PAS pun tak tolong bantu (Umno di Sungai kandis). Kita tak terikat dengan Umno dan Umno pun tak terikat dengan kita, tapi lihat juga case by case, bergantung pada isu semasa di tempat itu, keperluan dalam konteks negeri, negara, rakyat Malaysia dan agama Islam.

“Tapi parti fikir ada keperluan suara pembangkang dalam Sidang DUN. Sekarang ada lima orang (ADUN), daripada lima orang tu (kalau Pakatan Harapan menang) tak terjejas, majoriti tak rosak pun,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Nasrudin seru undi Lokman

Terdahulu beliau diminta mengulas mengenai kenyataan terbuka PAS yang menyatakan sokongan terhadap Lokman dalam usaha mengalahkan HARAPAN di Sungai Kandis.

Sabtu lalu, dua pemimpin pusat parti itu mengarahkan anggota PAS supaya memenangkan Lokman yang bertanding dalam usaha pembangkang merampas kerusi berkenaan.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata anggota dan penyokong parti itu perlu mengundi Lokman jika mahu melihat HARAPAN dikalahkan selain itu parti Islam itu juga berpendirian tidak boleh menerima cara pemerintahan kerajaan sekarang.

Anggota parlimen Kubang Kerian itu turut ditanya mengenai keyakinan calon HARAPAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bahawa 3,000 penyokong PAS akan mengundinya pada 4 Ogos ini.

Mengulas perkara itu Tuan Ibrahim berkata semua pihak yang bertanding mempunyai keyakinan yang sama.

Mungkin PAS tak tanding DUN Balakong

“Semua orang yakin begitu, saya lihat calon BN pun yakin begitu,” katanya.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata PAS berkemungkinan besar tidak bertanding dalam PRK DUN Balakong disebabkan majoriti undi yang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Majoriti diperoleh terlalu besar. Kita tak (nak) habiskan masa rakyat lah untuk buat benda-benda (kempen)

“Kecuali kalau kita rasa ada kepentingan sesuatu baru kita buat keputusan baru,” katanya.

Dalam PRU14 lalu, Ng Tien Chee (HARAPAN) memenangi kerusi Balakong dengan memperoleh 41,768 undi berbanding Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS) 6230 undi dan Lim Chin Wah (BN) 5874 undi.

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan pada 8 September sebagai hari pengundian bagi PRK Balakong.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 18 Ogos, manakala tempoh berkempen bagi PRK ini selama 21 hari.

Mengulas mengenai pandangan orang ramai terhadap parti itu apabila dua PRK tidak bertanding, Tuan Ibrahim berkata itu merupakan hak PAS untuk bertanding dimana-mana PRK.

“Kita pun bukan turun bertanding semberono sahaja. Tempat-tempat yang kita rasa boleh turun kita turun dan tempat yang kita rasa tak turun kita tak turun.

“Jadi saya fikir kita tak terikat dengan apa-apa. Cuma kita ambil kira faktor lalu dan juga situasi semasa,” katanya.


Tiada ulasan: