Sabtu, 21 Julai 2018

Terima maaf pembantu peribadi saya – Syed Saddiq

Kasthuri Jeevendran

MGF21072018_SADDIQ-RASMI-GRADUAN-ASPIRE04-681x454
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bergambar bersama Pengarah Urusan GRADUAN, Elia Talib (kiri) pada Majlis Perasmian Pameran GRADUAN Aspire 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon kepada semua pihak supaya berlapang dada dan menerima permohonan maaf pembantu peribadinya yang dikatakan tidak matang dan berbudi bahasa terutamanya ketika mengendalikan media.

Syed Saddiq berkata, pembantu beliau, Siti Nurul Hidayah sudah memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak dan seharusnya menerima permohonan itu dengan hati terbuka.

Jelas beliau, pembantu peribadinya bersalah tetapi sebagai manusia semua orang pernah melakukan kesilapan dan akan belajar daripada kesulitan itu.

“Dia sudah meminta maaf secara terbuka, kita perlu menerima dan kita sama-sama perlu perbaiki diri. Itu yang paling mustahak. Kita terima maaf dan saling menerima,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Nurul Hidayah didakwa bertindak tidak sopan terhadap pegawai dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika acara Pertarungan Juara-Juara yang berlangsung Sabtu lalu.

Perkara itu dibangkitkan oleh seorang pegawai yang bertugas di bahagian protokol ketika pertandingan itu, yang menampilkan Manny Pacquiao dan Lucas Matthysse di Arena Axiata, yang mana dia meminta agar Syed Saddiq menghantar pembantunya itu ke kelas komunikasi agar tidak memalukan menteri tersebut pada masa akan datang.

Che Wan Sofiatul Shima Wan Chik yang mengemukakan saranan itu dalam dalam akuan sosial Twitter pada Isnin berkata: “YB (Yang Berhormat) @SyedSaddiq, minta jasa baik YB hantarkan Hidayah, PA (personal assistant) anda ke kelas komunikasi.

“Kurang pengalaman dan cara berbahasa. Maaf cakap,” tulisnya.

Syed Saddiq1

Che Wan Sofiatul Shima mendakwa, pegawai khas Syed Saddiq itu membalas pertanyaan pegawai seksyen istiadat dan protokol jabatan berkenaan yang ingin mengetahui tujuannya masuk ke Royal Box dengan biadab.

“Pegawai tersebut adalah orang nombor dua terpenting di seksyen istiadat, tetapi pembantu Syed Saddiq menjawab soalan beliau dengan kasar.

“Dia membuat ekspresi tidak senang dan berkata ‘such a mess’ (menyusahkan sahaja) kepada pegawai berkenaan,”.

Sementara itu, terdapat beberapa wartawan turut berkongsi pengalaman buruk mereka berurusan dengan Siti Nurul Hidayah melalui posting di media sosial.

Salah seorang daripadanya, Deegun pada kapsyen gambarnya bersama Syed Saddiq berkata: “Harap tadbir negara dengan baik dan tolong tegur pembantu anda, @sitinurulhidayahshaziman tu untuk melayan pengamal media dengan baik.

“Baru jadi PA (pembantu peribadi), tak perlulah nak ‘kekwat’ (berlagak) sangat.

“Jangan sebabkan dia, pemimpin yang bagus seperti awak akan hancur. Terima kasih Saddiq,” ujar Deegun.

Nurul Hidayah juga pernah menimbulkan kontroversi apabila bertindak menulis tentang keperluan menjalinkan hubungan baik dengan pihak media tetapi tidak kepada mereka yang tidak menghormatinya seminggu lepas.

“Sebagai seorang pegawai, saya tahu saya perlu ada hubungan baik dengan media, tapi saya tidak boleh tolak ansur dengan media yang tiada rasa hormat kepada orang lain.,” katanya.

Sebelum ini, Syed Saddiq juga pernah menghadapi kontroversi berhubung pelantikan pegawai akhbarnya, Numan Afifi yang sebelum dikecam hebat dan membuat keputusan untuk meletak jawatan daripada tugas berkenaan.

Pelantikan tidak rasmi itu mencetuskan kritikan sesetengah pihak yang mendakwa Numan memperjuangkan hak ‘Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual’ (LGBT) serta tidak sepatutnya dilantik sebagai kakitangan KBS. – Malaysia Gazette

Tiada ulasan: