Ahad, 22 Julai 2018

Tempoh setahun laksana peraturan kasut hitam

sitifatimah

Tiada tindakan displin, pelajar boleh lagi pakai kasut putih tahun depan

 

SIMPANG RENGGAM – Kerajaan memberi kelonggaran selama setahun kepada semua pihak bagi melaksanakan peraturan pemakaian kasut berwarna hitam di semua sekolah kerajaan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata tempoh itu adalah bagi menyesuaikan pelbagai pihak terhadap peraturan baru itu, termasuk ibu bapa yang mungkin terbeban jika pelaksanaannya dilakukan secara drastik.

Katanya, sepanjang tempoh itu, tiada tindakan disiplin akan dikenakan terhadap pelajar yang tidak memakai kasut hitam ke sekolah.

“Untuk tahun depan siapa (ibu bapa) yang sudah sediakan kasut putih, kita bagi kelonggaran mereka (pelajar) pakai lagi. Kita faham perubahan tidak boleh dilakukan secara paksaan, kekerasan dan kita cuba memahami agar semua pihak khususnya ibu bapa dan pemain industri berasa gembira.

“Kita tidak akan buat ‘hard Landing tapi ‘soft landing’ kerana kita tak mahu ada yang terbeban dan rasa tertekan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Parlimen Simpang Renggam dan mesyuarat bersama agensi kerajaan di Pejabat Parlimen Simpang Renggam di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan ramai pihak termasuk para pemilik kedai kasut berhubung pelaksanaan langkah terbabit.

Khamis lepas, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam mengumumkan penukaran warna kasut para pelajar di seluruh negara daripada warna putih kepada warna hitam bermula sesi persekolahan tahun depan.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan ibu bapa yang diterima Kementerian Pendidikan sejak beliau menjadi menteri.


Tiada ulasan: