Jumaat, 20 Julai 2018

SST hanya rangkum 38% bakul IHP

Norlaile Abd Rahman
susu formula bayi, sardin, fi doktor hospital swasta, tiket wayang dan taman tema, insurans kesihatan untuk individu, servis penyelenggaraan, fi transaksi bank dan bingkai cermin mata adalah barangan yang dikenakan GST tetapi dikecualikan dari SST.
Susu formula bayi, sardin, fi doktor hospital swasta, tiket wayang dan taman tema, insurans kesihatan untuk individu, servis penyelenggaraan, fi transaksi bank dan bingkai cermin mata adalah barangan yang dikenakan GST tetapi dikecualikan dari SST.

KUALA LUMPUR – Cukai Jualan dan Perkhidmatan ( SST) hanya merangkumi kira-kira 38 peratus barangan dalam bakul Indeks Harga Pengguna (IHP).

Ini berbeza dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang merangkumi 60 peratus dari barangan dalam bakul IHP, jelas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Tambahnya, susu formula bayi, sardin, fi doktor hospital swasta, tiket wayang dan taman tema,
insurans kesihatan untuk individu, servis penyelenggaraan, fi transaksi bank dan bingkai cermin mata adalah barangan yang dikenakan GST tetapi dikecualikan dari SST.

“Berbeza dengan GST, ada barangan yang tidak dikenakan SST.

“Memang GST dikatakan sebuah cukai yang efisyen dan telus tetapi ia lebih memihak kepada kerajaan sedangkan apa yang kerajaan sekarang mahukan adalah untuk meringankan beban rakyat.

“Kami mahu melihat kos sara hidup dapat dikurangkan pada masa akan datang,” katanya semasa sidang media di Parlimen hari ini.

Tambah Guan Eng, kerajaan hanya mampu mengutip RM21 bilion setahun melalui pelaksanaan SST berbanding RM42 bilion setahun yang dikutip melalui GST.

Bagaimanapun katanya, baki RM23 bilion yang tidak dikutip itu sebaliknya diserahkan kepada rakyat yang sekaligus akan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada sidang media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2018
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada sidang media di lobi 
Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI
“Kerajaan tidak menafikan rakyat mungkin terkesan dengan pelaksanaan SST kerana apabila cukai apa pun dikenakan, pastinya akan memberi impak tetapi saya yakin itu hanyalah sementara atau hanya berlaku ketika adjusting period sahaja.

“Pada jangka masa panjang kerajaan mahu melihat kos sara hidup rakyat dapat dikurangkan kerana baki RM23 bilion itu disuntik semula ke dalam ekonomi negara melalui (lebihan pendapatan boleh guna) rakyat.

“Bukannya kerajaan guna untuk membeli hartanah di luar negara atau beg tangan dan sebagainya,” katanya lagi.

Ketika ditanya bagaimana kerajaan mahu mengurangkan kesan negatif akibat kehilangan pendapatan hasil cukai, Guan Eng menjelaskan ia dilakukan melalui pelbagai cara penjimatan termasuk menilai semula kos projek-projek kerajaan seperti LRT3.

“Untuk tahun ini kami yakin tiada masalah (kurangnya perolehan kerajaan) tetapi untuk tahun depan kami akan melakukan pemantauan ketat seperti melakukan perbelanjaan berhemah, pemberian tender terbuka dan sebagainya,” ujarnya.

Menyentuh mengenai kesan yang bakal dihadapi oleh peniaga yang terpaksa menukar sistem dari GST daripada SST, Guan Eng yakin perubahan sistem itu tidak memberi sebarang impak kepada peniaga.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan itu menyalahkan kerajaan Barisan Nasional yang gagal memulangkan semula tuntutan GST peniaga dengan segera sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengambil kira cukai berkenaan sebagai kos dan seterusnya menaikkan harga atau perkhidmatan.-MalaysiaGazette


Tiada ulasan: