Selasa, 31 Julai 2018

SG KANDIS TITIK PERSEFAHAMAN UMNO-PAS




Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis diharap menjadi titik permulaan persefahaman UMNO-PAS dalam memperjuangkan Islam dan hak orang Melayu serta Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata persefahaman antara dua parti terbesar masyarakat Melayu itu memberi makna yang mendalam kepada politik tanah air.

“Hari ini, batu sempadan kita sedang dialih, hak Bumiputera dikacau bilaukan, MARA hendak dipecahkan kepada kementerian-kementerian lain, ini maruah kita, maruah orang Melayu dan akhirnya maruah kita dicabar dari hari ke hari sehingga kita berpecah belah.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana PRK Sungai Kandis ini menjadi titik permulaan persefahaman antara UMNO dan PAS, dua parti orang Melayu yang terbesar. Jika persamaan (UMNO-PAS) ini dapat kita wujudkan, ia memberi pengertian besar kepada politik negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ceramah Penerangan Barisan Nasional (BN) PRK Sungai Kandis di Taman Seri Andalas di sini, Isnin malam.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau sendiri sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi PAS dalam mencari persefahaman antara kedua-dua parti terbabit.

“Saya sudah berjumpa (pemimpin PAS) tiga ke empat kali dan akhirnya mereka melafazkan untuk pertama kali selepas 60 tahun bermusuh bahawa wajib untuk ahli PAS tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) dan menyokong UMNO di Sungai Kandis. Ini adalah petanda.

“Saya yakin dan percaya jika ada kemahuan dan tekad seluruh orang Melayu yang sayangkan bangsa, agama tanah air, kita mampu mencapainya. Lupakan soal manifesto PH sebab memang tidak boleh dilaksanakan pun dan jika mereka laksanakan, akan memudaratkan ekonomi negara kerana itu adalah hakikatnya,” katanya.

Beliau berkata, jika BN diberikan mandat dalam PRK Sungai Kandis, ia bukan kemenangan kepada Datuk Lokman Noor Adam sebagai calon semata-mata, sebaliknya kemenangan perjuangan orang Melayu di negara ini.

“Ini akan menjadi satu referandum rakyat betapa mereka tidak berpuas hati terhadap manifesto PH yang tidak ditunaikan dan menjadi pembohngan kepada rakyat Malaysia.

“Sebangsat-bangsat UMNO, kita tidak akan menjual maruah bangsa, sebangsat-bangsat UMNO kita tidak akan mempertaruhkan agama kita,” katanya.


Tiada ulasan: