Ahad, 15 Julai 2018

Selepas memecut ke JPM, cabaran menanti Azmin dalam PKR?

 
Bekas menteri besar itu, dilihat sebagai orang yang disukai Dr Mahathir, mungkin dicabar pada pemilihan akan datang untuk mengekang kenaikannya.


Azmin Ali dilihat disukai Perdana Menteri Dr Mahathir. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Kecepatan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menaiki tangga kerajaan mungkin tidak disenangi pemimpin-pemimpin kanan partinya, termasuk Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata seorang pengkritik Pakatan Harapan.

Penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff berkata, jawatan parti Azmin, yang dilantik ke portfolio hal ehwal ekonomi yang sangat berkuasa di bawah Jabatan Perdana Menteri, mungkin dicabar pada kongres PKR akan datang.

Beliau berkata Anwar mungkin mahukan jawatan presiden dalam usaha mengukuhkan kedudukannya dalam PKR, ketika dia melakukan persiapan untuk mengambil alih kerajaan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dijanjikan kepadanya sebelum pilihan raya umum Mei lepas.

Jawatan presiden PKR sekarang ini dipegang isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar sementara itu diberi gelaran ketua umum, jawatan yang tidak wujud dalam perlembagaan PKR.
Kamarul berkata walaupun Azmin berada dalam kedudukan yang cukup baik untuk bersaing dengan Anwar merebut jawatan presiden, bekas menteri besar Selangor itu sedar akan akibatnya.

“Dia akan dilihat sebagai orang yang jahat jika dia berbuat demikian. Sekarang ini, dia amat berpengaruh dalam kalangan akar umbi, jadi lebih baik untuk dia bersabar,” kata Kamarul.

Beliau berkata masalah paling besar buat Azmin sekarang ini ialah mempertahankan jawatan nombor 2 dalam parti jika dicabar pada pemilihan parti akan datang.

“Belum jelas siapa yang akan mencabarnya tetapi mungkin sekali seorang pemimpin kanan yang sangat setia kepada Anwar,” katanya.

“Ia akan menjadi pertarungan yang sengit. Anwar seorang menteri yang mengetuai kementerian yang sangat berkuasa dan penting, manakala orang yang bersepakat dengannya seperti Zuraida Kamarudin dan Amirudin Shari juga memegang jawatan penting,” katanya.

Zuraida adalah menteri perumahan dan kerajaan tempatan sementara Amirudin pula menteri besar Selangor.

Kamarul berkata pencabar Azmin mungkin sekali mendapat sokongan Anwar.

Tetapi Kamarul berkata kelebihan Azmin ialah jawatan yang dipegang sekarang ini dilihat sebagai sokongan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Lagipun, beberapa personaliti berpengaruh dalam kelompok Dr Mahathir diketahui tidak sukakan Anwar, seperti Tun Daim Zainuddin dan Zahid Mat Arip,” kata Kamarul.

Tiada ulasan: