Selasa, 31 Julai 2018

Selamat tinggal GST, selamat kembali SST

Syahir Sulaiman

 
 
PADA hari Ahad yang lepas, saya dijemput menjadi panel sebuah forum anjuran sebuah pertubuhan profesional muda Kelantan (I-GRAD) di Kota Bharu, bagi membincangkan topik SST dan kesannya kepada rakyat.
 
Saya memulakan bicara dengan menggariskan prinsip muamalat dalam Islam yang menekankan aspek keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan ekonomi.
 
Ini dapat dilihat antaranya dengan seruan untuk membelanjakan harta di jalan Allah, larangan mengambil harta secara batil, larangan memakan riba dan rasuah, serta larangan harta hanya berlegar di kalangan orang kaya sahaja.
 
Secara takrifannya, rejim GST adalah cukai kepenggunaan yang dikenakan ke atas semua barangan dan perkhidmatan, kecuali yang dikeluarkan daripada senarai cukai (everything is taxable, except excluded).
 
Manakala rejim SST adalah cukai kepenggunaan yang tidak dikenakan ke atas semua barangan dan perkhidmatan, kecuali yang dimasukkan dalam senarai cukai (everything is non-taxable, except included).
 
Juga perlu difahami bahawa, SST adalah dua cukai yang tersendiri dan dikuatkuasakan oleh dua akta berbeza, iaitu Akta Cukai Jualan (Sales Tax) dan Akta Cukai Perkhidmatan (Services Tax).
 
Dalam konteks kesan daripada pelaksanaan SST, saya menyebutkan terdapat lima implikasi utama kepada ekonomi negara dan rakyat, iaitu:
 
1. Pertumbuhan ekonomi - kenaikan cukai akan mengurangkan pendapatan boleh guna rakyat, seterusnya merencatkan pertumbuhan ekonomi negara. Begitulah pula sebaliknya.
 
2. Sumber hasil kerajaan - pungutan cukai SST dijangka lebih rendah daripada GST (anggaran RM20b vs RM40b), menyebabkan SST perlu ditampung dengan kenaikan cukai lain seperti cukai korporat, serta dasar penjimatan oleh kerajaan (contoh penangguhan MyBrain).
 
3. Kos sara hidup - pelaksanaan cukai akan meningkatkan kos pembuatan dan perkhidmatan oleh pihak pengilang dan peniaga, seterusnya mendorong kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna.
 
4. Kos pentadbiran dan pematuhan - kelemahan paling utama sistem cukai SST adalah ianya tidak transparen, elemen penipuan, pemindahan harga (transfer pricing), dan manipulasi harga, yang menuntut kepada penguatkuasaan dan pemantauan oleh pihak kerajaan.
 
5. Agihan cukai - penumpuan perlu diberikan terhadap reformasi agihan cukai yang lebih cekap, efektif dan adil kepada rakyat dan wilayah. Adalah salah sekiranya sesuatu cukai dikutip daripada rakyat bagi menampung pembaziran, ketirisan dan rasuah yang dilakukan oleh kerajaan.
 
Persoalannya apakah tujuan SST ini dilaksanakan kembali? Jika untuk menambah hasil kerajaan, SST bukan pilihan yang bijak. Jika untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat, SST tidak menjanjikan harga yang lebih rendah berbanding GST.
 
Ini dapat dilihat dalam beberapa simulasi harga oleh pengeluar kenderaan, barangan perabot dan jenama tertentu yang menunjukkan harga baru selepas dikenakan 10% SST adalah lebih tinggi berbanding harga di bawah rejim cukai GST 6%.
 
Antara faktor yang menyumbang kepada tiadanya perubahan harga (price stickiness) adalah rantaian pembuatan dan perkhidmatan yang dimonopoli atau dimanipulasi oleh peniaga, di samping kenaikan kos operasi kepada peniaga, kesan daripada kenaikan kos bahan, dasar gaji minima, kejatuhan nilai ringgit, dan seumpamanya.
 
Ternyata, GST dan SST bukanlah sistem cukai terbaik untuk menambah hasil kerajaan dan mengurangkan kos sata hidup rakyat
 
Di sini pentingnya semua pihak untuk mengkaji dan menilai alternatif selain GST dan SST yang boleh dilaksanakan di Malaysia.
 
Antaranya melalui regim cukai keuntungan dan cukai kekayaan seperti Real Property Gain Tax, Capital Gain Tax, Windfall Tax, Tax on Share Trading, Tax on Idle Deposit, Tax on Inheritance, dan seumpamanya.
 
Dalam aspek ini, PAS telah mengemukakan cadangan alternatif terhadap GST di dalam Dokumen Hijau yang dilancarkan pada 2015. Di dalamnya terkandung segala prinsip, mekanisma dan anggaran kutipan 2.5% Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Saham, yang dikenakan ke atas 'lebihan kekayaan' bagi menjana hasil kepada kerajaan.
 
Saya menyatakan, sekiranya ada pihak lain di kalangan parti politik, NGO, ahli akademik atau persatuan peniaga yang mempunyai cadangan yang lebih baik, dipersilakan untuk dibentang dan dibahas.
 
Sekiranya tiada, terimalah dahulu cadangan daripada PAS untuk diperhalusi, dibahas dan ditambah baik, demi kebaikan ekonomi negara dan rakyat. HARAKAHDAILY
 
Dua tiga kucing berlari, 
Mana nak sama GST dan SST; 
Dua tiga janji diberi, 
Mana nak sama janji ditepati.
*Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM

Tiada ulasan: