Sabtu, 28 Julai 2018

Salahuddin Ayub kini bergelar Datuk

Bernama / astro awani
Salahuddin Ayub kini bergelar Datuk
Abdul Rahman (kanan) mengurniakan DSPN yang membawa gelaran Datuk kepada Salahuddin sempena Ulang Tahun baginda ke-80 di Seri Mutiara pada Jumaat. - BERNAMA
 

GEORGE TOWN: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub hari ini dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.

Turut menerima anugerah DSPN adalah Ketua Pegawai Operasi B.Braun Pulau Pinang, Dr. Juergen Friedhelm Peter Schloesser.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pula mendahului tiga penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) yang juga membawa gelaran Datuk.

Darjah kebesaran DMPN dan DSPN itu dianugerahkan sempena Ulang Tahun ke-80 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang 14 Julai lepas.

Isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Majimor Shariff, hadir pada upacara itu yang diadakan di Seri Mutiara, di sini.

Ketika ditemui selepas istiadat khas di kediaman Yang Dipertua Negeri, Salahuddin yang diiringi isteri Fatimah Taha, melahirkan rasa bangga dan terharu menerima pingat kebesaran itu.

"Sesuatu yang sangat besar maknanya dalam karier politik saya sebagai orang Johor tetapi tiba-tiba mendapat penghargaan daripada Pulau Pinang," katanya.

Salahuddin, yang juga merupakan Ahli Parlimen Pulai, berkata beliau akan berusaha memastikan kementerian yang diterajui dapat memberikan yang terbaik kepada rakyat Malaysia.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan isteri Tan Lean Kee, Timbalan Ketua Menteri II, Prof P. Ramasamy dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, Salahuddin yang merupakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, turut dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram di Johor. -- Bernama

Tiada ulasan: