Jumaat, 20 Julai 2018

Sabah sambut baik pengumuman k'jaan tunai janji beri royalti 20%

MALAYSIAKINI

   
Kerajaan Sabah menyambut dengan penuh gembira pengumuman bahawa kerajaan persekutuan akan menunaikan janji memberi bayaran royalti 20 peratus kepada semua negeri pengeluar petroleum di negara ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara itu menunjukkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad prihatin tentang hak Sabah dan pengumuman tersebut merupakan berita yang amat dialu-alukan semua rakyat Sabah.

“Kami berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan kami amat bersyukur. Ia berita baik bagi kami di Sabah. Ia merupakan janji yang ditunaikan dalam masa 100 hari dan suatu langkah sangat positif,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Shafie berkata usaha mendapatkan bayaran royalti minyak 20 peratus adalah sebahagian daripada manifesto Parti Warisan Sabah (WARISAN), serta antara janji pilihan raya yang dibuat bersama-sama rakannya dalam Pakatan Harapan.

Beliau, yang juga presiden WARISAN, berkata pemberian bayaran royalti itu menunjukkan dengan jelas bahawa kerajaan baharu di Malaysia serta Sabah serius dalam memenuhi aspirasi rakyat yang mahukan perubahan.

“Kerajaan Sabah yang diterajui WARISAN akan terus bekerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi mendapatkan lebih banyak autonomi bagi Sabah, sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya berani memberi jaminan kepada rakyat bahawa segala usaha akan dilakukan bagi memastikan hasil tambahan itu akan digunakan untuk manfaat rakyat di Sabah,” kata Mohd Shafie.

Menurut beliau, berbeza dengan kerajaan sebelum ini, pentadbiran diterajui WARISAN komited sepenuhnya untuk membawa Sabah ke tahap kejayaan lebih tinggi dan bukan untuk mengkayakan diri sendiri.

Katanya, Sabah sudah memohon agar royalti minyak dinaikkan daripada lima kepada 20 peratus sejak beberapa tahun lepas, tetapi tidak berhasil.

Mohd Shafie berkata kerajaan persekutuan yang baharu di bawah Pakatan Harapan akhirnya menjadikan perkara itu suatu kenyataan dan rakyat Sabah sudah tentu menyambutnya dengan gembira.

Sementara itu, Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau juga menyambut pengumuman itu dengan amat gembira dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri.

“Ini sungguh mengembirakan kerana inilah sebenarnya apa dihasratkan dan diharapkan rakyat Sabah sejak lama dulu. Pendapatan tambahan itu akan melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sabah dan ia merupakan petanda baik bagi rakyat negeri ini,” katanya.

Semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam, Dr Mahathir memberi jaminan kerajaan akan berpegang kepada janji dalam manifesto Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 dan komited untuk menunaikannya.

Menurut beliau, ini termasuk memenuhi janji untuk memberi royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar petroleum di negara ini.- Bernama


Tiada ulasan: