Isnin, 23 Julai 2018

Rumah teres jadi sarang dadah

Rumah teres jadi port dadah
Antara individu yang dicekup dalam Ops Sarang, di sebuah rumah di Jalan Abang Galau, semalam.
 
BINTULU - Sebuah rumah teres di Jalan Abang Galau, di sini, yang dijadikan 'port' menghisap dadah diserbu polis dalam Ops Sarang, semalam.

Serbuan kira-kira jam 1.30 petang dijalankan sepasukan polis  Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak hasil maklumat dan intipan.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Sahar Abd Latif berkata, seramai tujuh individu warga Indonesia termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 32 tahun diberkas.

"Pemeriksaan terhadap salah seorang lelaki telah menjumpai tiga keratan tiub straw berisi ketulan kristal disyaki dadah syabu. Empat paket plastik berisi ketulan kristal turut dijumpai di rumah tersebut.

"Selain itu, polis juga menemui 46 keratan straw pelbagai saiz dan warna di ruang tamu rumah tersebut," katanya.

Beliau berkata, dianggarkan dadah jenis syabu seberat kira-kira 34.07 gram bernilai RM4,500.

Katanya, ujian saringan mendapati empat lelaki dan seorang wanita didapati positif dadah.

"Polis percaya semua suspek menjadikan rumah sewa itu sebagai tempat untuk melepaskan gian menghisap dadah.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tiada ulasan: