Ahad, 15 Julai 2018

Projek mega bermasalah zaman BN dikaji, kata Exco Terengganu

 
Kerajaan negeri sudah lakukan penilaian terhadap satu daripada 3 projek mega bermasalah, iaitu Projek Taman Ilmu.


3 projek mega dimaksudkan ialah Projek Taman Ilmu di Tembila, Besut, Kompleks Bebas Cukai di Kenyir dan projek baik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.


PETALING JAYA: Projek mega bermasalah ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Terengganu akan dikaji semula, kata pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu.

Mamad Puteh.

Dr Mamad Puteh berkata, sehingga kini kerajaan negeri sudah melakukan penilaian terhadap satu daripada 3 projek mega bermasalah iaitu projek Taman Ilmu.

“Susah untuk saya jawab sekali gus, bukan senang. Projek Taman Ilmu itupun susah hendak jawab. Ketika ini hanya satu tempat di Taman Ilmu sahaja selesai dilawati dan dinilai.
“Kita nampak kerosakan serius di situ dan kita sudah minta JKR buat kajian berapa anggaran kos baik pulih, tapi kita tidak akan baiki secara keseluruhan. Kita baiki ikut keperluan,” katanya kepada FMT.

3 projek mega dimaksudkan ialah Projek Taman Ilmu di Tembila, Besut, Kompleks Bebas Cukai di Kenyir dan projek baik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak yang masih belum dapat digunakan.

Pembangunan Taman Ilmu dilapor sepatutnya siap pada Oktober tahun lepas, kompleks Bebas Cukai sepatutnya siap sepenuhnya pada hujung tahun, dan baik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, yang runtuh pada 2009, masih belum selesai setakat Januari tahun ini.

Projek Taman Ilmu yang mula dibina pada 2004 di kawasan seluas 280 hektar terbengkalai lama hingga mengakibatkan banyak kerosakan pada bangunan serta kecurian kabel.

Mamad berkata, setakat ini beliau dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa kos yang diperlukan untuk baik pulih Taman Ilmu itu menelan belanja RM400 juta.

“Kita baiki sedikit demi sedikit kerana ia libatkan kos yang besar, kerajaan negeri tidak ada cukup duit kerana anggaran kos baiki sahaja sebanyak RM400 juta.

“Sekarang ini 2 blok di Taman Ilmu itu digunakan sebagai asrama sebuah institut pengajian tinggi.

Difahamkan kos baiki dan sediakan infrastruktur sahaja sudah libatkan RM10 juta,” katanya.

Mengulas mengenai 2 projek lain, Mamad berkata menteri besar Terengganu akan melawat tidak lama lagi bagi menilaiya sendiri selain mendapatkan maklumat lengkap daripada JKR.

“Bagi projek Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) kita akan baiki apa yang kita hendak pakai. Projek Bebas Cukai di Kenyir kita belum pergi lagi.

“Menteri besar dijangka pergi ke sana sendiri bagi dapatkan maklumat lengkap daripada JKR dan sebagainya. Kena buat kajian dahulu, dan tentukan yang manakah perlu libatkan kontraktor terdahulu,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Amanah Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin mempersoalkan siapakah yang bertanggungjawab ke atas kegagalan 3 projek berkenaan.

“Kita tidak mahu lagi dikenali sebagai negara yang banyak kes jenayah, namun tidak mempunyai penjenayah. Kenapa masalah ini berterusan dan kenapa kerajaan negeri sebelum ini dan sekarang masih tidak mengambil tindakan terhadap 3 projek ini,” katanya.

Tiada ulasan: