Ahad, 15 Julai 2018

PRK Sungai Kandis: Mohd Zawawi jadi pilihan pengundi?


PRK Sungai Kandis: Mohd Zawawi jadi pilihan pengundi?
Beberapa gegantung dinaikkan di sekitar Jalan Kebun yang tertera sokongan kepada Mohd Zawawi sebagai calon PRK Sg Kandis. (Gambar kecil: Mohd Zawawi)
 
 
SHAH ALAM - Teka-teki siapa yang bakal menjadi calon PKR untuk bertanding pada PRK Dun Sungai Kandis semakin hangat apabila timbul pula nama Mohd Zawawi Ahmad Mughni, yang dikatakan mendapat sokongan sebahagian pengundi di Jalan Kebun.

Beberapa gegantung yang dinaikkan oleh pengundi di sekitar Jalan Kebun sejak beberapa hari lalu, tertera sokongan agar Mohd Zawawi dipilih sebagai calon dalam usaha mempertahankan kerusi Sungai  Kandis.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Mohd Zawawi mengakui maklum dengan perkara itu malah turut mengesahkan menawarkan diri sebagai calon.

“Ia (gegantung) permintaan dan cadangan daripada pengundi-pengundi di Jalan Kebun yang mengharapkan saya agar ke depan.

“Pada mulanya agak berat juga bagi saya, ada sebahagian mereka jumpa dan minta saya fikirkan, itu yang mereka naikkan gegantung.

“Mengambil kira beberapa aspek termasuk sokongan mereka, saya pun tawar diri jadi calon. Jadi, terserah kepada kepimpinan untuk putuskan siapa calon sesuai,” katanya.

Dengan latar belakang sebagai Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh di Jalan Kebun serta penglibatan dalam politik sejak gerakan Reformasi 1998, Mohd Zawawi dilihat berpotensi untuk dipilih sebagai calon oleh kepimpinan pusat PKR.

Aktif di peringkat Cabang Kota Raja dan ranting Jalan Kebun, Mohd Zawawi juga menggalas jawatan sebagai Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (Bippa) serta AJK Biro Pendidikan PKR di peringkat pusat.

Selain itu, Mohd Zawawi turut terlibat sebagai Setiausaha Jentera Pilihan Raya Dun Sungai Kandis serta bertindak sebagai Ketua Bilik Gerakan Utama pada kempen PRU14 yang lalu.

Mengambil kira faktor dan situasi PRK yang seringkali lebih tertumpu kepada isu bersifat lokal dan lebih spesifik, Mohd Zawawi dilihat memiliki ramuan yang lengkap sebagai calon yang disenangi rakyat.

Dari satu sudut, sebagai pengetua maahad tahfiz dan keterlibatan dalam komuniti membuatkan Mohd Zawawi dikenali dan menjadi nilai tambah dari aspek ketokohan, selain faktor kelebihan sebagai calon tempatan.

Melihat kepada komposisi pengundi Dun Sungai Kandis yang majoritinya pengundi Melayu sebanyak 53.5 peratus, beberapa isu yang dilihat sensitif berkemungkinan akan hangat diperkatakan.

Beberapa isu sensitif seperti gerakan dan pengaruh LGBT, isu mengenai raja-raja, kedudukan institusi agama dan sebagainya dijangka mampu menjadi faktor peralihan undi.

Sedikit sebanyak, kepimpinan PKR perlu mengambil kira soal nilai dan ketokohan calon yang bakal dipilih bukan sahaja untuk berdepan isu dan pertahankan kerusi Sg Kandis, tetapi juga persepsi pengundi terhadap kepimpinan PKR secara keseluruhan.

Apa sekali pun, menjelang hari penamaan calon pada 23 Julai ini, teka-teki siapa calon PKR kini semakin hangat setelah beberapa nama seperti bekas Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari, Naib Ketua AMK Malaysia, Mohd Radzlan Jalaluddin serta Mikhael Iskhandaar disebut-sebut antara calon utama.Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengesahkan PKR Selangor telah menyerahkan senarai akhir nama calon PRK Sg Kandis kepada pimpinan pusat untuk penilaian akhir.

Namun, beliau enggan mendedahkan angka sebenar nama yang terdapat dalam senarai berkenaan.

Sebelum itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan PRK Dun Sg Kandis akan diadakan pada 4 Ogos 2018 setelah penyandang kerusi itu, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat kanser limfoma.

Tiada ulasan: