Sabtu, 14 Julai 2018

PRK Sg Kandis: Ujian UMNO mantap kedudukan, kembali keyakinan rakyat

Bernama
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman


PASIR SALAK – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis akan menjadi ujian dan masa terbaik bagi UMNO memantapkan semula kedudukannya dan mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti politik pembangkang itu.

Ahli veteran UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata sebagai pembangkang yang memegang konsep ‘check and balance’ (semak dan imbang), PRK itu menjadi platform terbaik buat mereka membentangkan pelbagai kelemahan janji-janji dalam manifesto kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang berkaitan kepentingan rakyat.

“Bagi saya meskipun PH baharu memenangi PRU-14 tetapi tidak bermakna kita (BN) tidak ada peluang sebab kita mempunyai banyak modal dan isu yang boleh diketengahkan dalam kalangan pengundi di sana yang menunjukkan kelemahan yang begitu serius dan kritikal.

“Saya rasa ramai pengundi di sana yang tidak senang hati, tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat mereka (kerajaan) antaranya ancaman kepada Institusi Raja-Raja Melayu, orang Melayu, kepentingan agama Islam dan pekerja Melayu. Kita boleh bawa isu ini untuk pengadilan kepada pengundi di sana,” kata bekas Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu.

Tajuddin, yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak, berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 104 bakal jemaah haji kawasan Parlimen Pasir Salak di Chenderong Balai dekat sini hari ini.- BERNAMA


Tiada ulasan: