Ahad, 29 Julai 2018

PRK SG KANDIS : MAJLIS SYURA PAS SERU AHLI UNDI CALON BN


Hasil carian imej untuk FOTO PRK SG KANDIS


Majlis Syura PAS menyeru semua ahlinya mengundi calon Barisan Nasional (BN, Datuk Lokman Noor Adam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

Ahli Majlis Syura, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, ahli PAS perlu menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang secara jelas gagal menjaga hal ehwal Islam sejak menjadi parti pemerintah.

“Nampaknya kerajaan PH seperti tidak mampu melindungi agama Islam. Jadi adalah menjadi tanggungjawab ahli PAS untuk memberi undi kepada calon BN.

“Kita dapat lihat kegagalan kerajaan yang ada hari ini. Jadi kita wajar bersatu menumbangkan calon PKR,” katanya ketika berucap pada program Bangkit PAS Selangor di Markas PAS di Kota Raja, Klang pada malam Sabtu.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir dan kepemimpinan PAS Selangor.

Khairuddin turut mengingatkan ahlinya mengenai pesanan alim ulama bahawa kewajipan pertama seorang pemerintah ialah dengan menegakkan agama Allah.

“Hari ini kita melihat Kerajaan PH tidak bersungguh-sungguh memelihara agama Allah.

“Kita setuju menolak PH kerana tidak mampu menegakkan agama Allah serta gagal menguruskan ekonomi mengikut cara yang digariskan Allah,” katanya.

Sebelum ini,Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan turut mengajak penyokong parti itu menolak calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, pos ini.

Selain itu beberapa pimpinan PAS pusat, iaitu Nik Abduh Nik Aziz dan Naib Presiden PAS yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, secara terbuka ‘mendorong’ ahli mereka supaya mengundi BN dan menolak calon PH.

PAS mengambil keputusan tidak bertanding PRK DUN Sungai Kandis bagi memberi laluan pertandingan satu lawan satu.


Tiada ulasan: