Isnin, 30 Julai 2018

PRK Balakong: Hari mengundi 8 September, 18 Ogos penamaan calon

Kumara Sabapatty
Tan Sri Othman Mahmood mengadakan sidang media mengenai haru mengundi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Balakang di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya.
Tan Sri Othman Mahmood mengadakan sidang media mengenai haru mengundi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Balakang di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penemaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pada 18 Ogos manakala hari mengundi pula ialah pada 8 September ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, hari mengundi awal ditetapkan pada 4 September ini dengan tempoh berkempen adalah selama 21 hari.

“Calon parti politik bertanding dibenarkan berkempen mulai tarikh penamaan calon hingga jam 11.59 malam pada 7 September nanti,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas suruhanjaya itu di Putrajaya, pada Isnin di sini.

Seramai 998 petugas SPR bagi PRK kali ini manakala 17 premis bangunan akan digunakan dengan keseluruhan kos melibatkan RM1.5 juta bagi proses perjalanan PRK.

Jelas beliau SPR telah melantik Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Rosli Othman sebagai pegawai Pengurus PRK DUN Balakong dengan dibantu tiga penolong pengurus.

“Kita juga akan menubuhkan satu Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti kempen PRK sepanjang tempoh rasmi berkempen,” katanya.

PRK Balakong adalah yang kedua diadakan sejak Pilihan Raya Umum (PRU14) pada 9 Mei lalu yang memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH), sekali gus membentuk kerajaan.

PRK Balakong diadakan berikutan penyandang kerusi berkenaan daripada DAP, Ng Tien Chee meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 11.7 Lebuh Raya Grand Saga, Kajang pada 20 Julai Julai lalu.

Rentetan kematian itu, kerusi DUN Balakong diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim pada 27 Julai lalu.

Tambah beliau, SPR melakukan tiga penambahbaikan untuk mengurangkan kesesakan di tempat mengundi dan memberi keselesaan kepada pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK kali ini.

“Bagi pengundi 60 tahun dan ke atas, tiga saluran diwujudkan untuk memudahkan mereka mengundi.

“SPR juga menambah saluran mengundi di pusat mengundi jumlah pemilih yang ramai. Sebanyak 29 saluran baru diwujudkan bagi mengelakkan pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran, menjadikan keseluruhan 129 saluran berbanding 100 saluran semasa PRU14 yang lalu.

“SPR juga memanjang tempoh masa mengundi dari pukul 8 hingga 5.30 petang berbanding 5 petang sebelum ini,” katanya.

Malah katanya SPR juga membuat penambahan petak undi kepda 3 petak undi berbanding 2 petak sahaja sebelum ini bertujuan mempercepatkan proses pengundian di saluran-saluran pengundi mengelak kesesakan dan memberi keselesaan kepada pengundi.

Katanya, SPR akan menggunakan Dewan Utama Demesne di Pejabat Daerah Hulu Langat sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

Daftar pemilih PRK yang dikemasmikini sehingga Julai 2018 adalah seramai 62,219 pengundi.
SPR menawarkan mana-mana NGO atau badan persendirian yang ingin menjadi pemerhati boleh memohon bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan diumumkan.

Borang boleh dikemukan kepada SPR dan tarikh tutup ialah 6 Ogos 2018. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: