Sabtu, 14 Julai 2018

PH kianat janji lantik Ketua Hakim Negara tanpa melalui Parlimen, dakwa Pemuda Pas



PH kianat janji lantik Ketua Hakim Negara tanpa melalui Parlimen, dakwa Pemuda Pas



Pelantikan penting seperti Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan dan dibincang bagi membaiki tahap integriti serta kepercayaan rakyat kepada semua institusi penting negara, demikian menurut Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Timbalan Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin mempersoalkan mengapa kerajaan Pakatan Harapan tergopoh-gapah mengumumkan pelantikan penting itu sedangkan parlimen bakal bersidang pada minggu hadapan, 16 Julai.

“Sedangkan Parlimen bakal bersidang minggu depan yakni 16 Julai, mengapa PH begitu gopoh dan gelojoh? Kini secara terang-terangan janji itu telah dicincang lumat dan rakyat dibohongi pemimpin negara tanpa segan silu sebagaimana juga perangai regim BN dahulu,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, katanya, tindakan menamakan beliau tanpa melalui Parlimen telah menambah senarai pengkhianatan janji oleh Pakatan Harapan.

“Walhal dalam Janji 16 (Mengembalikan Wibawa Institusi Parlimen) Manifesto Pakatan Harapan menyenaraikan perkara tersebut dilaksanakan apabila menerajui pemerintahan,”katanya.

Tegasnya, janji itu supaya jawatan penting negara seperti pelantikan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman mesti disahkan jawatankuasa yang bersesuaian di peringkat Parlimen.

Lebih menggusarkan katanya, pelantikan tersebut tidak mendokong aspirasi dan semangat untuk menjaga Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Khairil berkata, beliau punyai reputasi ‘menggerunkan’ terhadap kepentingan Islam sebagaimana penghakiman pernah diberikannya sebelum ini.

Antaranya, kata beliau kes Lina Joy (2007), penggunaan kalimah Allah (2015) dan baharu sahaja kes pertukaran agama anak M Indira Gandhi (2018) yang pernah menggugat.

“Tan Sri Richard nyata memberi penghakiman berbeza yang menyelisihi Islam, sekali gus membayangkan ‘kecondongan’ beliau,”ujarnya.

Justeru, beliau tidak menolak pelantikan Ketua Hakim Negara dilihat rentetan dari tindakan DAP melobi sejak sekian lama, bahkan menghimpun perkembangan politik mutakhir ini jelas menampakkan agenda DAP menguasai jawatan-jawatan strategik negara.

Tiada ulasan: