Jumaat, 13 Julai 2018

PH cuba ‘rungkai’ 4 sendi utama Perlembagaan, kata Zuhdi

 
Zuhdi berkata pihaknya melihat kemungkinan himpunan kesatuan Melayu-Islam seperti berlaku pada tahun 1946 berulang kembali.


Zuhdi berkata, 4 sendi utama Perlembagaan persekutuan ialah Islam sebagai agama persekutuan, institusi Raja sebagai punca kestabilan politik, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa Bumiputera, khususnya masyarakat Melayu di Semenanjung dan Pribumi Sabah dan Sarawak. (Gambar Facebook)


PETALING JAYA: PAS hari ini mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) didominasi DAP yang mendapat sokongan minoriti pengundi Melayu-Islam cuba untuk “merungkai” 4 sendi utama Perlembagaan persekutuan.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, 4 sendi utama Perlembagaan persekutuan itu ialah Islam sebagai agama persekutuan, institusi Raja sebagai punca kestabilan politik Malaysia, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa Bumiputera, khususnya masyarakat Melayu di Semenanjung dan Pribumi Sabah dan Sarawak.

“Jadi saya melihat situasi hari ini bila sudah ada ancaman untuk menghakis 4 (sendi utama) Perlembagaan ini seolah-oleh ia menyeru kepada orang Melayu-Islam supaya mengulangi semula himpunan yang pernah mereka lakukan tahun 1946 dahulu.

“Daripada himpunan itulah mereka mengemukakan agenda kehendak masyarakat Islam pada waktu itu yang kemudiannya membawa kepada himpunan besar-besaran menentang Malayan Union,” katanya ketika dihubungi FMT semalam.
Zuhdi merujuk kepada himpunan orang Melayu-Islam pada tahun 1946 menentang Malayan Union yang dilihat berlawanan dengan kepentingan mereka selain mmperluas campur tangan British dalam urusan pentadbiran negeri Melayu .

Pentadbiran British pada masa itu memperkenalkan gagasan Malayan Union yang dilihat menghakis kuasa Raja-raja Melayu, kedudukan orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu dan Islam sebagai agama amalan mereka .

Langkah itu mencetuskan penentangan meluas orang Melayu tanpa mengira fahaman politik sehingga menghasilkan perjanjian persekutuan Tanah Melayu pada 21 Januari 1948 yang menjadi pembuka jalan kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari tahun yang sama.

Zuhdi yang bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam pada pilihan raya umum lepas berkata, pihaknya turut melihat kemungkinan himpunan kesatuan orang Melayu-Islam seperti yang berlaku tahun 1946 berulang kembali.

Beliau berkata, ini disebabkan keghairahan PH, khususnya DAP, yang dilihat cuba menghakis keempat-empat tonggak perlembagaan Malaysia itu.

“Kemungkinan himpunan kesatuan Melayu-Islam seperti tahun 1946 itu boleh berulang balik dengan semangat menentang Malayan Union dulu bertukar kepada menentang usaha Malaysian Malaysia yang cuba dibawa oleh DAP,” tegasnya.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mokhtar Senik dilaporkan berkata, telah tiba masanya umat Melayu-Muslim daripada semua parti bangun bersama-sama mempertahankan Islam yang kini dicabar serta cuba dirombak.

Mokhtar berkata, umat Islam khususnya di negara ini sedang berdepan dengan cabaran besar yang boleh merombak keteguhan akidah mereka.

Tiada ulasan: