Ahad, 22 Julai 2018

Penstrukturan air Selangor muktamad Ogos, kata MB

 
Menteri Besar Amirudin Shari berkata Putrajaya sedang melakukan perubahan tanpa memberikan huraian.


Amirudin berkata ada kerjasama baik antara Shah Alam dan Putrajaya.

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata penstrukturan semula industri air negeri yang tertangguh sekian lama akan dimuktamadkan pada Ogos selepas kerajaan pusat melakukan “perubahan”.

Beliau tidak menghuraikan “perubahan” itu tetapi berkata penstrukturan semula itu boleh tercapai kerana kerjasama baik antara Shah Alam dan Putrajaya.

“Kerajaan pusat sedang lakukan perubahan. Insya-Allah awal bulan 8 atau pertengahan bulan 8 kita sudah boleh selesai isu air yang 10 tahun tertunggak,” katanya ketika merasmikan bilik gerakan Pakatan Harapan untuk pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis.

Penstrukturan semula industri air di Selangor tertangguh kerana pertikaian tentang nilai tawaran untuk mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH). Setakat ini, kerajaan negeri hanya selesai mengambil alih 3 syarikat konsesi lain yang dijayakan semasa pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Amirudin berkata kerajaan Selangor perlu berhati-hati kerana pengambilalihan SPLASH melibatkan kos yang besar.

Sementara itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata isu penstrukturan semula hanya berkenaan pengambilalihan Splash oleh kerajaan negeri. Beliau menjangkakan ia dapat diselesaikan sebelum 10 Ogos.

“Dalam 80 hingga 90% sudah selesai. Kita akan umumkan bila muktamad nanti,” katanya.

Tiada ulasan: