Ahad, 15 Julai 2018

Pemuda Pas bantu warga emas

Pemuda Pas bantu warga emas
Sabri (tiga, kiri) bergambar bersama pasangan warga emas yang duduk ditangga pondok usang mereka.
 
 
GURUN - Pemuda Pas Parlimen Jerai bergotong-royong membersihkan rumah pasangan warga emas yang kurang berkemampuan di Kampung Guar Nenas.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit berkata, gotong royong itu diadakan bagi tujuan membantu warga emas berkenaan menjalani kehidupan yang lebih selesa di pondok usang mereka.

Katanya, warga emas berkenaan, Sharif Osman 69, dan isteri, Ramlah Awang Kecik, 68, tinggal di tanah sendiri hasil pengambilan tanah yang diagihkan sesama adik beradik.

“Alhamdulillah mujur mereka ada tanah milik sendiri, jadi rumah yang lebih selesa dapat dibina, tambahan pula pasangan ini sudah pun dalam usaha membina rumah namun kerja pembinaan terhenti kerana wang tidak mencukupi,” katanya.

Menurut Sabri, selain daripada Pemuda Pas terdapat juga bantuan yang disalurkan dari anggota sukarelawan Bomba Guar Chempedak untuk menebang pokok di kawasan sekeliling pondok.

“Kita juga akan berusaha memastikan pasangan ini mendapat bantuan dari segi kewangan untuk membolehkan kerja pembinaan rumah diteruskan.

“Semoga sumbangan semua pihak, mampu menceriakan kehidupan pasangan warga emas ini,” katanya.

Tiada ulasan: