Ahad, 22 Julai 2018

Pemaju saman bekas ahli Parlimen Muar


 felda

KEADILAN DAILY

Syarikat pemaju hartanah, Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap bekas ahli Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim berhubung kenyataannya mengenai syarikat itu sebagai pemaju utama projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), di Jalan Semarak, di Kuala Lumpur.

SPSB selaku plaintif menfailkan saman itu semalam di Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur melalui Tetuan Reza Rahim & Rajivan dengan menamakan Razali sebagai defendan.

SPSB mendakwa kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Razali adalah palsu, tidak berasas dan mencemarkan reputasi syarikat berkenaan.

SPSB berkata syarikat itu sebelum ini telah menyampaikan satu notis tindakan kepada defendan menuntutnya memohon maaf, bagaimanapun beliau gagal berbuat demikian.

Syarikat itu memohon satu perintah injunksi supaya Razali dihalang daripada mengulangi atau menerbitkan kenyataan yang berunsur fitnah, juga menuntut ganti rugi RM100 juta serta mengemukakan permohonan maaf berdasarkan terma yang dipersetujui oleh SPSB.

SPSB Jun lalu menyaman bekas ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad RM100 juta atas dakwaan mengeluarkan kenyataan mengelirukan terhadap syarikat itu pada Disember 2017.

SPSB turut menyaman fitnah The New Straits Times Press RM250 juta “demi memulihkan reputasi syarikat”.

Tiada ulasan: