Ahad, 22 Julai 2018

PAS nafi beri laluan pada Umno

MALAYSIAKINI

   
PRK SG KANDIS | Keputusan PAS untuk tidak bertanding di PRK Sungai Kandis bukanlah kerana memberi laluan kepada Umno tetapi atas pertimbangan pelbagai faktor, kata pengarah pilihan raya pusat parti itu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata PAS membuat kajian dan melihat maklumat terkini - termasuk kedudukan kewangan parti - sebelum membuat keputusan itu.

"Bukan (kerana) PAS beri laluan, bahasa itu kena jelas.

"Ia adalah keputusan PAS sendiri untuk tidak letak calon atas pelbagai faktor (dan) setelah dapatkan pandangan daripada rakan di Selangor.

"Maka kita buat keputusan untuk tidak bertanding," katanya yang juga menteri besar Terengganu.

Beliau mengakui ada pihak yang melihat langkah itu sebagai memberi laluan kepada Umno tetapi menegaskan ia adalah tafsiran "pihak luar".

Samsuri memberi penjelasan itu menerusi rakaman yang dimuat naik di laman Youtubenya semalam dan dikongsi di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini Setiausaha Agung PAS Datuk takiyuddin Hassan juga mengatakan langkah PAS itu tidak bermakna partinya akan bekerjasama dengan Umno.

Beliau berkata keputusan itu atas pelbagai sebab - sama seperti keputusan untuk tidak bertanding di PRK sebelum ini, misalnya di DUN Batu Talam pada 2007.

Bagaimanapun Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan mengeluarkan kenyataan hari ini bahawa parti itu tidak mahu memecahkan undi agar Pakatan Harapan dapat ditewaskan.

Melaungkan slogan 'Asal Bukan Pakatan Harapan - ABAH', bekas anggota parlimen Temerloh itu berkata pengundi Sungai Kandis mempunyai "1,001 sebab" sebab untuk menolak HARAPAN.

Berhubung PRK Balakong pula, Samsuri berkata PAS masih belum membuat keputusan sama ada untuk meletakkan calon atau tidak.

"Kita akan berbincang dan akan dapatkan pandangan daripada bawah (termasuk) jentera pilihan raya PAS Selangor sebelum buat keputusan," katanya.


Tiada ulasan: