Selasa, 10 Julai 2018

Pandangan Zam ekstrem, wajar diambil tindakan

Manzaidi Mohd Amin
 
Mohd Ali Jamil
Mohd Ali Jamil


KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Wilayah Persekutuan (DUPWP) mengutuk saranan Tan Sri Zainuddin Maidin agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa menutup sekolah tahfiz sebagai usaha membawa keluar umat Islam daripada amalan agama jumud.

Ketuanya, Mohd Ali Jamil berkata, Pas menganggap cadangan itu mewakili golongan pelampau yang mahu memecahkan perpaduan dan kesatuan umat Islam serta wajar diambil tindakan di atas hasutan ekstrem itu.

Kata beliau, di sebalik kenyataan Dr. Mujahid bahawa parti yang menggunakan agama dan kaum sudah tidak lagi relevan, ada juga insan yang terlebih sudu dari kuah dengan memberi saranan melampau supaya menutup sekolah tahfiz.

“Apa kaitan parti politik berteraskan agama dengan sekolah tahfiz? Mengapa beliau begitu sakit hati terhadap umat Islam dan sistem pendidikan agama terutama tahfiz.

“Ia memberi isyarat bahawa kenyataan Dr. Mujahid itu selari dengan kehendak golongan liberal dan sekular di negara ini dan saranan itu antara cetusan awal untuk memerdekakan doktrin mereka untuk diamalkan.

“Kami melihat Zainuddin sebenarnya yang berfikiran jumud dan sempit. Di saat manusia bergerak ke hadapan dia pula mahu mengundur ke belakang,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Zainuddin atau lebih mesra dengan panggilan Zam agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri menutup semua sekolah tahfiz yang didakwanya tidak memberi masa depan kepada generasi baru umat Islam.

Jelas Mohd Ali, umat Islam tidak pernah ada masalah dengan sekolah tahfiz dan ia telah wujud beribu tahun dahulu sebelum kewujudan parti politik negara ini.

Bahkan, ujarnya, sistem sekolah tahfiz semakin mendapat kepercayaan ibu bapa, tetapi tiba-tiba Zainuddin pula merasa dengki dengan sekolah itu dan berusaha agar ia ditutup.

Katanya, mungkin dengan kejahilan umat Islam terhadap al-Quran dan agama Islam itu dilihat progresif dan maju olehnya.

“Kita desak Dr Mujahid bersikap keras dan tegas kepada golongan pelampau seperti itu kerana Kenyataan beliau yang begitu longgar boleh menjadi senjata makan tuan oleh golongan liberal dan sekular,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: