Selasa, 31 Julai 2018

Melaka catat peningkatan wabak HFMD

ainulillia

MELAKA TENGAH – Penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Melaka mencatat peningkatan sebanyak 66 peratus dengan penambahan sebanyak empat kes melibatkan taska dan pra sekolah di negeri ini.

Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Noor Effendi Ahmad berkata, peningkatan kes itu direkodkan setakat 28 Julai lalu.

Selain itu, keseluruhan kes turut merekodkan peningkatan sebanyak 658 kes dengan 76 peratus hingga 30 Julai 2018 berbanding dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau berkata, wabak berkenaan masih terkawal melibatkan sekolah, pra sekolah dan taska malah tiada sekolah dilaporkan ditutup selain kes melibatkan rumah persendirian mencatatkan penurunan hingga 64 peratus.

“Penurunan kes itu membabitkan sembilan kes rumah persendirian sebelum ini dan belum ada sekolah kebangsaan di negeri ini yang tutup disebabkan penyakit HFMD,” katanya.

Daerah Melaka Tengah mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 119 kes diikuti Alor Gajah (98) dan Jasin (25) bagi minggu ke-30.


Tiada ulasan: