Sabtu, 28 Julai 2018

Melaka akan kaji semula peruntukan pertubuhan belia

 
Melaka akan kaji semula peruntukan pertubuhan belia

Kerajaan Negeri  Melaka akan mengkaji semula peruntukkan bagi pertubuhan belia negeri ini secara holistik dan telus supaya ia dapat disalurkan tanpa ada yang dipinggirkan, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata, pihaknya sedang memantau kesemua persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) belia sebelum memutuskan jumlah peruntukan yang akan diberikan.

“Ia akan dilihat secara keseluruhannya baru dapat putuskan berapa peruntukan yang akan diberikan seadil mungkin. Supaya mereka dapat melaksanakan program, meneruskan perancangan dan aktiviti dalam semua peringkat tanpa mengira lapisan kaum dan agama,” katanya.

Adly berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Melaka di Seri Bendahara di Ayer Keroh, semalam.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, beliau telah mengarahkan Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee mendapatkan maklumat berhubung dakwaan terdapat persatuan belia yang tidak aktif namun mendapat peruntukan.

“Kita cuba tambah baik kaedah pemantauan, bagaimana cara kita berhubung dengan belia untuk menyalurkan bantuan, kaedahnya akan dibaiki,” katanya seperti dilapor Sinaronline hari ini.

Dalam pada itu, Adly turut menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) peringkat negeri kepada Arif Faiz Zainudin yang memenangi kategori Lelaki manakala kategori perempuan, Nurul Amirah Mohd Yusof.

Selain itu, Persatuan Belia Felda (MBGM) Tun Ghafar Hutan Percha turut dinobat johan APBN kategori Pertubuhan Belia diikuti Gerakan Belia 4B (M) Cawangan Kuala Sungai Baru.

Tiada ulasan: