Jumaat, 13 Julai 2018

Majlis agama Islam Selangor bawa kes Ahmadiah ke Mahkamah Rayuan

 
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan pengikut Ahmadiah mengamalkan ajaran mereka tanpa gangguan Jais. 


Haris Kassim berkata, Mais yang akan memfailkan rayuan kerana Jais sekadar pelaksana undang-undang bagi pihak kerajaan negeri. (Gambar Facebook)


PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memutuskan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan pengikut Ahmadiah mengamalkan ajaran mereka tanpa diganggu pihak berkuasa agama negeri itu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kassim berkata, pihaknya dimaklumkan Mais membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.

“Keputusan mahkamah itu kami tengah buat rayuan. Ia bukan Jais yang buat rayuan tetapi Mais, Jais hanya sebagai pelaksana undang-undang dari kerajaan negeri.

“Jadi, saya dimaklumkan Mais buat keputusan untuk buat rayuan, bawa ke Mahkamah Rayuan,” katanya yang turut menganggotai Mais kepada FMT.
Pada 6 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dalam penghakiman bersejarah berkata, Jais tiada hak menghalang aktiviti keagamaan komuniti Ahmadiah di Selangor kerana pihak berkuasa agama Islam di negeri itu tidak mengiktiraf Ahmadiah sebagai orang Islam.

Mahkamah merujuk fatwa diwartakan di Selangor pada 2001 yang mengisytiharkan pengikut Ahmadiah sebagai sesat, oleh itu Jais tiada bidang kuasa menyiasat dan mendakwa mereka atas kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Islam Negeri.

Hakim turut memerintahkan ketua pendakwa raya syariah dan pejabat penguat kuasa agama menghentikan pendakwaan serta siasatan terhadap 39 pengikut Ahmadiah yang memfailkan semakan kehakiman selepas Jais menangkap ahli komuniti itu, 4 tahun lalu.

Pengikut Ahmadiah yang juga digelar Qadiani, berbeza dalam beberapa perkara dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, antaranya mempercayai pengasas fahaman itu, Mirza Ghulam Ahmad sebagai Imam Mahdi.

Ajaran Ahmadiah diasaskan Mirza pada 1889 di kampung kelahirannya Qadian, di daerah Gurdaspur, Punjab, India. Beliau lahir pada 13 Februari 1835 dan meninggal dunia pada 26 Mei 1908 di Lahore, sebelum dipindahkan untuk dikebumikan di Qadian.

Tiada ulasan: