Isnin, 16 Julai 2018

Mahathir, Mat Sabu tonton perlawanan tinju dunia




Hubungan rapat antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu terserlah ketika berlangsungnya pertarungan tinju dunia di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.

Mohamad yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu merakamkan detik beliau bersama Pengerusi Bersatu berkenaan ketika menyaksikan perlawanan antara Manny Pacquiao dan Lucas Matthysee itu.

Berkongsikan detik tersebut di Facebook rasminya, Mat Sabu yang juga Presiden AMANAH berdiri di sebelah kanan Mahathir dengan turut disertai Presiden Filipina Rodrigo Duterte.

Mohamad dalam catatannya di media sosial itu juga mengucapkan tahniah kepada bintang tinju Filipina, Pacquiao kerana berjaya merampas tali pinggang welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA).

Pacquiao, 39, yang meraih kemenangan ke-60 dalam kerjayanya diisytihar menang menerusi kiraan mata dari segi teknik melalui tumbukan “knock-out” (TKO).

Turut dilihat sebaris menyaksikan pertarungan yang juga disiar secara langsung buat julung kalinya oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam siri Jelajah Pakatan Harapan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, Mahathir dan Mohamad lazimnya saling memuji dan berseloroh satu sama lain ketika berucap.

Mereka juga kebiasaannya mengimbas seketika detik perseteruan politik dahulu memandangkan kedudukan Mahathir sebelum ini sebagai Perdana Menteri dari parti pemerintah BN manakala Mohamad pula berada dalam Pas sebagai parti pembangkang.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte melambai sambil disaksikan Tun Mahathir dan Mohamad Sabu.


Tiada ulasan: