Ahad, 22 Julai 2018

Lebih 14,000 pencari kerja setahun di Kedah, kata Mahfuz

Mahfuz mendengar penerangan semasa melawat gerai pameran Karnival Kerjaya Sungai Petani, Kedah semalam.

Jumlah pencari kerja yang berdaftar di negeri Kedah bagi tempoh setahun telah pun mencecah sehingga 14,034 orang.

Manakala bagi kawasan Parlimen Sungei Petani sahaja telah pun mencapai sebanyak 4863 pencari kerja.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar ketika ditemui semasa program Karnival Kerjaya Sungei Petani di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Sungei Petani, semalam.

Namun begitu katanya, sehingga 2018 jumlah peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang yang ditawarkan bagi negeri Kedah sahaja adalah sebanyak 14,830.

“Bagi kawasan Sungei Petani sahaja peluang pekerjaan telah berjaya diisi oleh pencari pekerjaan setakat ini ialah seramai 6665 orang.

“Untuk program Karnival Kerjaya pada hari ini sejumlah 1,200 peluang pekerjaan telah ditawarkan oleh 25 majikan.

“250 kekosongan adalah bagi siswazah dan 950 kekosongan lagi adalah bagi bukan siswazah,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena turut berkata, Kementerian Sumber Manusia senantiasa mencari alternatif menjalin kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan swasta menganjurkan pelbagai karnival kerjaya.

Malah katanya, inisiatif yang diambil untuk memberi perkhidmatan pekerjaan dan mempromosikan peluang pekerjaan kepada pencari kerja dengan percuma.

“Ia merupakan salah satu program turun padang yang menawarkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat bagi menikmati kemudahan yang ditawarkan oleh kerajaan.

“Jawatan yang ditawarkan pula melibatkan pelbagai kategori merangkumi profesional sehinggalah kepada pekerja am.

“Karnival ini turut menyediakan khidmat nasihat kerjaya, perundangan perburuhan, pameran daripada pusat latihan serta agensi-agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia,” tegasnya lagi.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sungei Petani, Datuk Johari Abdul, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Ooi Tze Min serta pimpinan masyarakat tempatan.

Tiada ulasan: