Khamis, 19 Julai 2018

Ku Li tak setuju presiden Umno pegang dana parti

 
   
PARLIMEN | Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat tiada mana-mana pemimpin Umno harusnya dibenarkan memegang dana parti secara peribadi.

Bercakap kepada wartawan di lobi parlimen hari ini, wakil dari Gua Musang itu berkata sebarang dana untuk parti - termasuk derma - harus dipegang oleh Umno secara kolektif.

"Tidak ada ahli yang perlu mengumpul wang sebagai derma walaupun untuk parti.

"Semua pembayaran untuk derma mestilah atas nama Umno, bukan atas nama personaliti, termasuk mereka yang mempunyai kuasa," katanya.

Tengku Razaleigh berkata demikian ketika ditanya harapannya selepas Umno selesai mengadakan pemilihan baru untuk parti itu pada 30 Jun lalu.

Pada pemilihan itu Tengku Razaleigh turut menawarkan diri sebagai calon presiden. Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi beliau apabila terpaksa akur dengan kehendak majoriti bahagian Umno di seluruh negara yang mahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi presiden.

Selain Tengku Razaleigh, bekas menteri Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut bersaing untuk merebut jawatan berkenaan.

Tak boleh terima

Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM116.7 juta dari premis yang dikaitkan dengan bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun di sebalik pelbagai andaian, Umno mendakwa wang tersebut adalah milik parti terbabit dan Najib memegang dana berkenaan atas kapasiti beliau sebagai presiden parti.

Isnin lalu, Umno melalui peguamnya Datuk Hariharan Tara Singh menghantar surat kepada PDRM untuk mendapatkan dokumen serta maklumat dalam usaha mereka memperoleh kembali wang tersebut.




Tengku Razaleigh - yang lebih dikenali sebagai Ku Li - berkata masalah utama Umno adalah amalan politik wang.

“Ini bukan soal warlord (tapi) lebih banyak politik wang, lebih banyak buang duit.

"Hal ini akan meningkatkan lagi syak wasangka berkenaan amalan rasuah. Dari mana mereka dapat semua wang ini?

"Saya tak tak boleh terima cara ini,” katanya.

Tengku Razaleigh turut mendakwa bahawa pemilihan itu dicemari politik wang menyebabkan beliau akhirnya tewas.


Tiada ulasan: