Ahad, 29 Julai 2018

Kit Siang: Siapa cakap saya samakan Islam dengan kleptokrasi?

 
Menjawab kesalan Najib, pemimpin DAP itu mencabar pemimpin Umno dan PAS serta mempersoalkan daya intelek mereka.


Najib persoalkan serangan setiap hari pemimpin DAP itu terhadap diri beliau, dengan blognya menunjukkan 18 entri mengenai bekas perdana menteri itu pada bulan Julai lepas sahaja.


PETALING JAYA: Lim Kit Siang mencabar pemimpin Umno dan PAS supaya memperkenalkan diri masing-masing sekiranya mereka mendakwa beliau menyamakan Islam dengan kleptokrasi.

Menjawab kesalan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak semalam, Lim menafikan beliau menyamakan Islam dengan kleptokrasi seperti terkandung dalam tulisan Najib mengenainya, serta menganggapnya sebagai dakwaan “liar, palsu dan tidak berasas.”

Najib mempersoalkan serangan setiap hari pemimpin DAP itu terhadap diri beliau, dengan blognya menunjukkan 18 entri mengenai bekas perdana menteri itu pada bulan Julai lepas sahaja. “Saya tidak dapat menghalang obsesi beliau kepada saya, tetapi Kit Siang tidak sepatutnya mempermainkan agama saya dan menggunakannya sebagai alat berkempen,” kata Najib.

Awal semalam, Kit Siang menaikkan di blog beliau kenyataan bertajuk “Sungai Kandis by-electiona crucial test whether Najib has succeeded in equating Islam with Kleptocracy in Malaysia” – (Pilihan raya kecil Sungai Kandis ujian getir sama ada Najib berjaya menyamakan Islam dengan kleptokrasi di Malaysia).

Najib berkata Kit Siang bertindak melampau dengan mencadangkan bahawa kemenangan BN di Sungai Kandis membawa erti menyamakan Islam dengan kleptokrasi.

Hari ini, Kit Siang berkata, Najib melakukan “salah besar” yang menurutnya tidak akan dibuat seorang pelajar sekolah sekalipun. Lim mempersoalkan “kemampuan intelek dan kualiti moral” pemimpin Umno dan PAS.

Lim berkata, beliau tidak pernah memperkecilkan Islam atau mana-mana agama lain, malah terus menyerang Najib dengan mengulangi frasa yang selalu digunakan dengan menyebut “kleptokrasi”, frasa yang diulang-ulangkan beliau untuk menghina bekas perdana menteri, Umno dan BN itu.”

Tiada ulasan: