Selasa, 31 Julai 2018

Ketua bahagian Umno Selangor pertikai pelantikan Ismail Sabri

MALAYSIAKINI

   

Majoriti ketua bahagian Umno di Selangor menolak pelantikan naib presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pengerusi perhubungan Umno negeri itu.

Memetik sumber, portal Berita Harian Online melaporkan seorang ketua bahagian Umno sebagai berkata, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya memanggil semua 22 ketua bahagian untuk berbincang serta meminta pendapat sebelum membuat keputusan.

"Kita melihat dia (Ismail Sabri) bukan calon yang tepat untuk memimpin Umno di negeri ini. Kita juga berharap presiden segera melantik pengganti yang lebih berkelayakan.

"Terdapat juga rungutan yang tidak berpuas hati dengan sikap pengerusi perhubungan negeri yang tidak turun membantu kempen PRK (Pilihan Raya Kecil) Sungai Kandis.

"Memang betul orang cakap BN tidak akan menang di Sungai Kandis, tetapi ia bukan alasan. Sepatutnya dia kena kerap turun 'tunjuk muka'," katanya yang dipetik portal itu.




Berita Harian Online juga memetik Pengerusi Veteran Umno Selangor, Datuk Ahmad Bahri sebagai berkata, beliau menyerahkan kepada semua ketua bahagian untuk menyatakan pendirian mereka.

"Saya hanya veteran Umno dan pandangan saya tidak akan didengar. Kalau saya cakap banyak pun orang akan pertikaikan," katanya yang enggan menguals lanjut.

Sebelum ini, pemimpin veteran Umno Terengganu, Datuk Roslan Awang juga dilaporkan berkata, tindakan Umno Pusat melantik Datuk Seri Mahdzir Khalid mengemudi badan perhubungan Umno negeri sebagai satu penghinaan kepada ahli parti di negeri itu.

Roslan dilaporkan berkata, 'luka' kekalahan teruk BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) belum sembuh dan pelantikan 'orang luar' memburukkan lagi keadaan.

Selain itu, pelantikan seorang lagi naib presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai pengerusi perhubungan Umno Perlis turut dipertikaikan pemimpin Umno negeri.

Sebelum ini Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, berkata keputusan meletakkan tiga naib presiden Umno sebagai pengerusi badan perhubungan Umno negeri, Ismail Sabri di Selangor, Mahdzir (Terengganu) dan Mohamed Khaled (Perlis) adalah bersifat sementara.

Keputusan itu dicapai bagi membolehkan parti terus menyusun struktur pentadbiran parti di tiga negeri iaitu Perlis, Selangor dan Terengganu.


Tiada ulasan: