Rabu, 11 Julai 2018

Kerajaan urus Tabung Derma Palestin


Kerajaan urus Tabung Derma Palestin
Wan Azizah menyaksikan penyampaian sumbangan tajaan sejumlah RM287,000 daripada pihak Alliance Islamic Bank Berhad kepada YKN dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam)

 
PUTRAJAYA - Kerajaan mengambil tanggungjawab untuk mentadbir dan mengurus dana Tabung Derma Palestin melalui Yayasan Kebajikan Negara.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan komited untuk membantu rakyat Palestin dan menyokong usaha yang dilaksanakan pelbagai pihak bagi memastikan kebajikan rakyat Palestin berkaitan isu kemanusiaan mendapat perhatian sewajarnya.

Menurutnya, wakil Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees (UNRWA) telah menemuinya dan menyatakan hasrat bagi mendapatkan bantuan Malaysia untuk mengutip derma bagi membantu rakyat Palestin.

“Hasrat tersebut telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pada dasarnya bersetuju supaya kerajaan mengambil inisiatif mengumpul dana untuk membantu rakyat Palestin.

“Perkara ini telah diperhalusi Lembaga Pemegang Amanah yayasan yang bermesyuarat hari ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara buat kali pertama, hari ini.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, orang ramai digalakkan menyalurkan sumbangan kepada akaun YKN-Tabung Rakyat Palestin di akaun Bank Alliance Islamic : 160140010011300 dan maklumat lanjut bolehlah menghubungi Sekretariat YKN-Tabung Rakyat Palestin di talian 03-83232451.

Hari ini, Wan Azizah menyaksikan penyampaian sumbangan tajaan sejumlah RM287,000 daripada Alliance Islamic Bank Berhad  dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam)  kepada Yayasan Kebajikan Negara untuk membantu kumpulan sasar yang menjalani dialisis di YKN Dialisis.

Tiada ulasan: