Khamis, 12 Julai 2018

Kerajaan sahkan Universiti Al-Madinah bebas fahaman radikal, ekstremis

 
Ia selepas mendapat pengesahan daripada Mais, PDRM, KDN dan KPT untuk kekal beroperasi dan menerima pelajar asing. 


(Dari kiri) Ketua Pengambilan Pelajar dan Pemasaran, Mohd Sahrin Ab Rahman; Ketua Eksekutif Mediu, Ismawi Zen dan Timbalan Pendaftar Disiplin dan Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa, Bibi Asma Sher Mohamad menunjukkam surat pengesahan daripada KDN, PDRM dan Mais.


KUALA LUMPUR: Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) hari ini disahkan bebas daripada menyebarkan ajaran berunsur radikal dan ekstremis selepas mendapat pengesahan daripada beberapa jabatan agama, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan polis.

Ketua Eksekutifnya, Prof Dr Ismawi Zen berkata Mediu menerima surat pengesahan secara rasmi daripada Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor yang mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

“Ini mengizinkan Mediu terus kekal beroperasi sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi dan menafikan kewujudan unsur-unsur negatif yang menjurus kepada redikal dan ekstremis di dalam silibus pengajian dan aktiviti Mediu.

“20 Mac lalu, PDRM mengesahkan Mediu melalui proses pemutihan dan bebas dari ancaman fahaman yang menjurus kepada fahaman militan IS dan Wahabi.
“3 April lalu, Mais membebaskan Mediu dari dakwaan fahaman Wahabi dan mengesahkan Mediu mematuhi fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya pada sidang media di Mediu Desa Petaling.

Pada 21 Disember 2016, Mediu menafikan dakwaan yang mengatakan mereka menyebarkan ajaran bersifat radikal melalui silibus kepada pelajarnya.

Mediu juga menafikan laporan media yang mendakwa universiti itu menawarkan kandungan silibus yang radikal seperti menghalalkan darah golongan yang tidak sependapat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sebelum ini, 2 pelajar antarabangsa Mediu pernah ditahan pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam kegiatan militan.

Mengulas lanjut, Ismawi berkata kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga membolehkan Mediu mengambil pelajar antarabangsa dan disenarai kembali dalam laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai layak memohon jawatan di dalam perkhidmatan awam oleh pelajar lepasan Mediu.

Katanya, berikutan dakwaan menyebar ajaran radikal sebelum ini, Mediu dipinggirkan dan digantung mengambil pelajar luar negara yang ingin menyambung pengajian di Mediu selama 2 tahun sejak 2016.

“Pelajar Mediu juga tidak dibenarkan untuk memohon jawatan di dalam perkhidmatan awam dan tidak disenarai dalam laman web JPA,” katanya.

Ismawi juga berkata beliau tidak akan mengambil tindakan terhadap pihak yang mendakwa Mediu sebelum ini dan memaafkan pihak yang menuduh universiti mereka radikal dan ekstremis.

Bagaimanapun beliau akui, Mediu hampir ditutup akibat serangan daripada pihak yang tidak dinamakan itu jika tidak mendapat pengesahan dan dibersihkan daripada dakwaan itu.

Ismawi berkata setakat ini Mediu mempunyai 123 program yang terdiri 6 fakulti dan 1 pusat bahasa.

Mediu ditubuhkan 10 tahun lalu di mana mula beroperasi pada 2008 dan memulakan pengajiannya dalam bentuk secara dalam talian dan kampus.

Tiada ulasan: