Isnin, 30 Julai 2018

Kerajaan negeri Kelantan didesak henti sistem ‘cekik’ peniaga Pasar Tasek Raja

Suasana di Pasar Bandar Tasek Raja di Pasir Mas.

Pemuda AMANAH Kelantan mendesak pihak kerajaan negeri memberhentikan segera pelaksanaan bayaran parkir kenderaan kepada pelanggan di Pasar Bandar Tasek Raja di Pasir Mas.

Ketuanya, Hazmi Hassan berkata, tindakan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) mengenakan caj tersebut menyebabkan peniaga di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang itu hilang 50 peratus pelanggan.

Menurutnya, sistem parkir berpalang tersebut menyebabkan pelanggang memilih untuk berbelanja di pasar lain ketika Pasar Tasek Raja masih baharu dan pendapatan jualan masih tidak stabil.

“Tindakan melaksanakan bayaran parkir kenderaan tanpa perbincangan dengan pihak peniaga. Pihak peniaga telah menghantar lebih 100 surat kepada MDPM namun satu surat pun tidak dibalas.

Hazmi Hassan

“Peniaga terlalu kecewa dengan Kerajaan Kelantan dan MDPM. Kami Pemuda AMANAH Kelantan bersama para peniaga Pasar Tasek Raja mendesak kerajaan menghentikan segera sistem yang mencekik para peniaga ini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Hazmi berkata, kerajaan negeri dan MDPM sewajarnya mencari jalan untuk memaju dan meramaikan pelanggang di Pasar Bandar Tasek Raja bukan bertindak sebaliknya.

“Pihak peniaga mendesak supaya sistem parkir berbayar ini segera dihentikan. Mereka beranggapan bayaran tempat parkir ini sangat membebankan dan tidak munasabah.

“Pasar Bandar Tasek Raja bukan berhawa dingin seperti Tesco atau besar seperti pasar RTC yang tidak mengenakan bayaran parkir,” jelasnya.

Untuk rekod, Pasar Bandar Tasek Raja yang terletak kira-kira dua kilometer dari bandar Pasir Mas mempunyai 1,700 premis dan dibuka pada 1 Ogos 2016.

Pasar tersebut menempatkan para peniaga dari pasar lama Pasir Mas, peniaga di Stesen Bas Pasir Mas dan sekitar landasan kereta api jajahan itu.

Mengulas lanjut, Hazmi berkata, peniaga juga menganggap kerajaan negeri dan MDPM langsung tidak menghiraukan nasib mereka sebaliknya hanya mengutamakan kepentingan pihak syarikat swasta.

“Syarikat swasta ini juga yang mengendalikan perkhidmatan sama di pasar Jelawat. Exco yang terlibat, Dr Izani sehingga ke hari ini masih tidak bertemu dengan pihak peniaga.

“Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah menyatakan perkara ini tidak membebankan dan kadar ini hampir sama dengan pasar raya lain di Kelantan,” ujar Hazmi lagi.

Parkir di bahagian bawah Pasar Bandar Tasek Raja di Pasir Mas.


Tiada ulasan: