Isnin, 16 Julai 2018

Kerajaan mesti tolak UEC

Manzaidi Mohd Amin
Sirajuddin Salleh
Sirajuddin Salleh


KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bahawa pihaknya akan membuat kajian komprehensif sebelum mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tetap tidak diterima oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Malah, menurut Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Sirajuddin Salleh, pertubuhan itu menuntut supaya kerajaan dengan tegas menolak terus UEC tanpa syarat dan dolak dalik.

“Kami tetap menolak UEC untuk digunakan bagi permohonan masuk ke universiti awam dan menjawat jawatan kerajaan.

“Ia jelas mencabul dan mencairkan semangat Perjanjian Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa penghantar,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Sirajuddin, isu UEC telah berlarutan sekian lama dan menimbulkan kemarahan rakyat yang cintakan perpaduan dan perdamaian.

Justeru, katanya, kenyataan Ketua Eksekutif Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Mohd Zai Mustafa yang menuntut menteri menolak UEC dalam tempoh tujuh hari hendaklah dipandang serius.

Ujarnya, kerajaan harus mengelak bantahan rakyat besar-besaran ke atas UEC yang didokong Persatuan Sekolah Cina Dong Zong.

“Masanya sudah tiba untuk kerajaan tidak membuang masa mengendali isu ini, lalu menolak sepenuhnya UEC dan menimbangkan pengharaman Dong Zong, iaitu punca kepada masalah ini.

“Perlu diketahui, UEC berkiblatkan kurikulum negara China dari Taiwan dan tidak menggunakan kurikulum kebangsaan.

“Mereka menggunakan bahasa Mandarin sepenuhnya dalam pengajaran, pembelajaran dan  Peperiksaan UEC. Tiada unsur Malaysia langsung,” tegasnya.

Sirajuddin berkata, jika kerajaan mengiktiraf UEC bermakna leburlah wawasan rakyat Malaysia yang ingin melihat warga negara ini mendapat pendidikan dari  kurikulum kebangsaan dan peperiksaan awam kendalian Kementerian Pendidikan.

“Maka terpinggirlah Dasar Pelajaran Kebangsaan, Akta 550 yang memperinci mengenai fungsi kurikulum dan peperiksaan di bawah Kementerian Pendidikan.

“Di manakah letaknya Perkara 152 yang menekankan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan yang mesti digunakan untuk sebarang urusan rasmi termasuk pendidikan. Tidakkah pengikhtirafan UEC ini melanggar Akta 550 dan Perlembagaan Persekutuan?

“Apakah kerajaan lupa selama ini pendidikan kebangsaanlah yang mengikat hubungan baik antara kaum di negara kita. Adakah kita mahu melihat satu hari nanti orang Melayu dengan sekolah kebangsaan, orang Cina dengan sekolah Cina dan orang India dengan sekolah Tamil? Orang Iban dan Kadazan juga dengan sekolah dan sijil tersendiri. Akan hancurlah perpaduan nasional,” katanya.

Katanya, pengiktirafan UEC akan memberi mudarat besar kepada negara yang akan menghancurkan sistem pendidikan kebangsaan yang dibina dan dibangunkan selama ini.

Pengikthirafan UEC juga, ujar beliau, akan meminggirkan sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan dengan anak-anak Cina tidak lagi dihantar ke sekolah kebangsaan serta sekolah menengah kebangsaan.

Sehubungan itu, beliau menyatakan rasa kecewa Perkasa dengan kenyataan Dr Maszlee dan dengan rasa penuh tanggungjawab membantah sekeras-kerasnya pengikthirafan UEC dalam apa jua bentuk sekali pun.

“PERKASA dalam apa keadaan sekalipun tetap memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air yang berpaksikan kepada Perkara 152 dan Perkara 153 Perlembagaan.

“Di manakah pemimpin Melayu yang mendakwa sebagai pejuang agama, bangsa dan negara? Segala kemahuan orang Cina diturut dan dilaksanakan walaupun bertentangan dengan Peraturan dan undang-undang?” soal beliau. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: