Isnin, 23 Julai 2018

Kerajaan akan naik taraf kuasa elektrik di Sabah, kata menteri



Kerajaan akan naik taraf kuasa elektrik di Sabah, kata menteri

Kerajaan akan menaik taraf talian elektrik di Sabah untuk meningkatkan keupayaan penyaluran bekalan elektrik dari pantai barat ke pantai timur, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Bagi tujuan itu, beliau berkata enam projek pengukuhan dan penaiktarafan grid dikenal pasti sebagai projek kritikal untuk memastikan keupayaan penyaluran antara 200 hingga 400 MegaWatt (MW) boleh dicapai.

“Enam projek itu ialah naik taraf talian 132 KiloVolt (kV) ke 275kV (Segaluid-Damrod); talian penghantaran baru 132kV (Segaluid-Seguntor); talian penghantaran baharu 132kv (Sandakan-Elopura-Seguntor); pencawang masuk utama (PMU) & PPU Bukit Nanas baru dan talian penghantaran baharu 132kV (TShun Nyen-Sandakan-Seguntor); PMU baharu dan talian penghantaran baharu 132kv Apas dan naik taraf talian pengagihan Sandakan, Lahad Datu dan Tawau.


Yeo Bee Yin

“Jumlah perbelanjaan projek ini berjumlah RM840 juta dan tarikh siap semua projek dijangka akhir tahun 2021 ataupun awal tahun 2022,” katanya semasa menjawab soalan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) mengenai rancangan Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan perangkaan ‘System Average Interruption Index’ (SAIDI) di Sabah, dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

SAIDI ialah indeks yang digunakan untuk mengukur tempoh gangguan bekalan elektrik kepada pengguna dalam tempoh setahun.

Selain itu, Yeo berkata kerajaan sedang menimbang keperluan untuk melaksanakan beberapa projek lain untuk menambah baik pembekalan elektrik di Sabah.

“Contohnya, antara projek yang dipertimbangkan ialah Southern Link bernilai RM1.25 bilion iaitu talian elektrik di Selatan (Sabah) yang menghubungkan pantai barat dan pantai timur dengan menyambung (grid) Kalumpang ke Mengalong.

“Talian sedia ada yang menyambung pantai barat ke pantai timur berada di utara Sabah, jadi dengan adanya Southern Link (talian selatan) maka grid di Sabah akan menjadi satu loop seterusnya akan menambahbaik lagi penyaluran elektrik dari pantai barat ke pantai timur,” katanya.

Susulan itu, kerajaan menetapkan sasaran untuk menurunkan kadar SAIDI di Sabah sebanyak 58 peratus kepada 100 minit/pengguna/tahun pada 2020.

“Untuk tahun 2017, kadar SAIDI di Sabah ialah 241 minit/pengguna/tahun berbanding 50 minit di Semenanjung Malaysia. Ia bermaksud untuk setiap tahun, setiap pengguna akan mengalami gangguan elektrik selama 241 minit iaitu lebih kurang empat jam. Pengguna elektrik di Sabah mengalami gangguan elektrik 4.8 kali ganda lebih kerap daripada pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia,” katanya seperti dipetik Bernama.

Tiada ulasan: