Khamis, 12 Julai 2018

Kenapa Najib saman Peguam Negara secara ex-parte?

Oleh Azhar Harun
 
Kenapa saman yang begitu penting begini melibatkan penjawat awam dalam institusi yang amat penting dalam sistem keadilan jenayah kita difailkan secara ex-parte.
 
 
 


Umum tahu dalam kes PP lawan Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini, orang kena tuduh (OKT) dituduh pecah amanah jenayah yang melibatkan wang sejumlah RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Kes itu bukan mengenai wang 1MDB. Kes 1MDB masih dalam siasatan. OKT dihadapkan ke Mahkamah pada 4 Julai 2018.

Sementara itu, OKT memfailkan saman terhadap Tommy Thomas selaku Peguam Negara pada 28 Jun 2018.
Mengikut laporan, saman yang difailkan adalah saman ex-parte. Saman ex-parte adalah saman yang tidak perlu diserahkan kepada pihak lawan. Ia dibicarakan oleh hakim dengan hanya mendengar 1 pihak sahaja, iaitu pihak yang menyaman.

Jikalau benar saman itu adalah saman ex-parte, saya rasa hairan kenapa pula saman yang begitu penting begini dan melibatkan penjawat awam dalam institusi yang amat penting dalam sistem keadilan jenayah kita difailkan secara ex-parte.

Mengikut laporan lagi, dalam saman tersebut, OKT mengatakan Tommy Thomas pada Julai 2016, menulis artikel bertajuk “Grand Larceny 1MDB”. OKT berkata dalam artikel itu, Tommy menyatakan wang di dalam akaun OKT adalah wang dari 1MDB.

OKT juga berkata, beliau rasa Tommy tidak menyukai beliau. Oleh itu Tommy sebagai Peguam Negara, akan mencari jalan untuk mengadakan pertuduhan terhadapnya.

Berikutan itu, OKT berkata Tommy Thomas tidak berkelayakan untuk terlibat di dalam penyiasatan 1MDB.

Pertama sekali saya rasa OKT tak paham tentang peranan Peguam Negara.

Peguam Negara tidak terlibat di dalam penyiasatan. Penyiasatan dibuat oleh pihak penyiasat yang berkenaan. Di dalam kes 1MDB, kalau tidak silap saya, penyiasatan dibuat oleh pihak SPRM.

Dalam undang-undang kita, Peguam Negara tidak boleh terlibat di dalam penyiasatan. Tugas Peguam Negara hanya akan bermula apabila kertas penyiasatan (investigation paper) diberikan kepada kamar Peguam Negara oleh pihak penyiasat setelah selesainya penyiasatan dibuat.

Apabila kertas penyiasatan itu diterima, barulah Peguam Negara akan meneliti kertas itu dan membuat keputusan sama ada terdapat kes ataupun tidak. Kalau Peguam Negara berpendapat wujud satu kes, maka Peguam Negara akan membuat pertuduhan terhadap OKT.

Saya amat tidak faham kenapa pula OKT di dalam saman ini mengatakan Tommy Thomas tidak berkelayakan untuk terlibat di dalam penyiasatan 1MDB. Memang dia tidak terlibat pun!

Saya nampak, dengan memfailkan saman ini, seolah-olah OKT mahu memberi tekanan yang tidak wajar terhadap Tommy Thomas daripada menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara mengenai kes 1MDB.

Ini juga boleh ditaksirkan sebagai satu percubaan untuk menghalang Peguam Negara dari menjalankan tugas beliau di sisi undang-undang.

Mahkamah di Malaysia juga berkali-kali memutuskan apa-apa tindakan Peguam Negara tidak boleh dipertikaikan, mahupun di dalam Mahkamah sekalipun. Dalam Bahasa Inggerisnya, “all decisions by the AG are non-justiciable.”

Satu lagi persoalan yang timbul di dalam kes ini adalah – apakah semata-mata kerana Tommy Thomas pernah, sebagai seorang rakyat biasa, memberikan pendapat beliau tentang 1MDB, beliau tidak berkelayakan untuk membuat apa-apa keputusan mengenai kes itu setelah beliau menjadi, dan di dalam kapasiti beliau sebagai, Peguam Negara?

Ini ialah satu persoalan yang menarik.

Saya ingin rujuk kepada 1 kes yang diputuskan oleh Mahkaham tertinggi di negara Komanwel. Kes ini diputuskan pada 2010.

Dalam kes ini, sebuah negara komanwel, B, menjalankan pilihan rayanya.

Semasa kempen pilihanraya tersebut, Encik X, yang merupakan pembangkang pada masa itu, mengkiritik hebat Encik Y, yang merupakan perdana menteri negara B tersebut, mengenai satu skandal kewangan negara itu.

Sudah ditakdirkan, kerajaan Encik Y kalah pada pilihan raya itu. Encik X pula menang dan menjadi perdana menteri dan menteri kewangan negara B.

Setelah Encik X menjadi perdana menteri, maka didapati terdapat salah laku kewangan sejumlah wang yang diderma kepada negara B.

Selaku perdana menteri, Encik X membuat kenyataan mengenai skandal itu. Encik X contohnya menyatakan tindakan Encik Y semasa dia menjadi perdana menteri dahulu adalah “outrageous”.

Beliau juga menuduh Encik Y berbohong dan terlibat dalam “improper diversion” dana berkenaan.

Kemudiannya, Encik X selaku menteri kewangan menubuhkan satu badan rayuan untuk menyiasat samada sebuah bank membuat salah laku di dalam hal itu.

Bank tersebut membawa tindakan Mahkamah untuk membantah pelantikan ahli-ahli badan rayuan tersebut oleh Encik X.

Bank berhujah, oleh kerana Encik X membuat kenyataan mengenai skandal itu, beliau tidak sepatutnya melantik ahli-ahli badan rayuan itu dan ahli-ahli yang dilantik oleh Encik X adalah “bias.”

Dipendekkan cerita, Mahkamah tertinggi Komanwel memutuskan Encik X hanya membuat kerja beliau sebagai perdana menteri dan menteri kewangan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang negara tersebut.

Soal bias tidak timbul.

Nota: Ini adalah 1 kes yang benar-benar berlaku. Walaupun bunyinya seperti Malaysia, tetapi sebenarnya negara B itu bukan Malaysia. Encik X pula bukan Tun Dr Mahathir Mohamad. Encik Y bukan OKT.

*Azhar Harun ialah peguam dan aktivis.

Tiada ulasan: