Ahad, 15 Julai 2018

Kemalangan libat 7 kenderaan, 11 mangsa


Kemalangan libat 7 kenderaan, 11 mangsa



SUNGAI BULOH - Tujuh buah kenderaan terlibat dalam kemalangan membabitkan 10 mangsa yang mana empat daripadanya maut dalam kejadian di Kilometer 445 Lebuhraya Plus arah ke utara, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kenderaan yang terlibat adalah treler jenis Hino, Perodua Myvi, Nissan Almera, Perodua Alza, Toyota Vellfire, BMW dan sebuah bas jenis Scania.

Menurutnya, tiga yang maut adalah pemandu dan penumpang Perodua Alza dan seorang lagi pemandu Toyota Vellfire.


“Mangsa tersebut dikenali Nur Fitrah Rosman, 24, Nurbaya Mohd Zaki, 24, Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din, 24 dan Noorakhirudin Alam Mohamad Noor, 48.

“Manakala, seorang mangsa kini ditempatkan di zon merah Hospital Sungai Buloh. Selain itu, mangsa yang lain juga dilaporkan mengalami kecederaan patah tangan, patah kaki serta beberapa daripada mereka tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika treler terbabit bergesel dengan Perodua Myvi sebelum melanggar Nissan Almera menyebabkan treler hilang kawalan lalu terbabas merentangi pembahagi jalan hingga masuk laluan bertentangan dan melanggar belakang bas.

Katanya, sementara itu, tiga buah lagi kenderaan dari arah utara iaitu Perodua Alza, BMW dan Vellfire gagal memberhentikan kenderaannya lalu melanggar treler yang melintang di laluan tersebut.

“Pihak bomba telah membantu mengeluarkan kesemua mangsa. Mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa maut berkelakuan pelik sebelum kemalangan ]

Tambahnya, polis turut mengambil ujian darah dan air kencing pemandu treler berusia 45 tahun itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang melihat kejadian diminta untuk tampil memberi maklumat dengan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Rohaizad Hashim di talian 012-2924420.

Tiada ulasan: